Saturday, March 22, 2014

PRK Kajang: Lebih 80% Mengundi Esok

 

KAJANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka lebih 80 peratus daripada 38,055 pemilih berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang akan keluar mengundi esok.
  
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata jangkaan berdasarkan trend pengundian dan peratusan keluar mengundi di DUN itu pada pilihan raya terdahulu.
  
Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, Abdul Ghani tidak menolak kemungkinan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini melebihi 88.4 peratus yang dicatat semasa pilihan raya umum ke-13.
  
Pada masa sama beliau turut menasihatkan pengundi agar datang awal dan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi.
  
Rabu lepas, 88.39 peratus atau 1,050 daripada 1,197 pengundi awal di Dun itu melaksanakan tanggungjawab mereka.
  
Ditanya mengenai perjalanan keseluruhan pilihan raya kecil itu termasuk tempoh berkempen yang akan berakhir pukul 12 tengah malam ini, Abdul Ghani berkata SPR berpuas hati dan menyifatkan semua berjalan lancar.
  
Beliau bagaimanapun mengingatkan parti politik terlibat agar mematuhi peraturan yang termaktub dalam Akta Pilihan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya semasa hari pengundian.
  
Antaranya larangan merayu atau meraih undi, katanya.
  
Pilihan raya kecil DUN itu diadakan selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Jan lepas.
  
Esok, pengundi di Dun itu akan memilih sama ada Datin Paduka Chew Mei Fun daripada Barisan Nasional atau calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai wakil rakyat yang baharu. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails