Thursday, March 20, 2014

Beza Mazhab: Menurut Sunnah Wal Jamaah (2) -Abd Hadi

Oleh: DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Perbezaan mazhab menurut perspektif ahlul sunnah wal jamaah (2)

Sambungan dari Siri 1

KAJIAN PARA ULAMA

Ada kalangan ulama yang mengarang kitab berkenaan dengan sejarah dan aliran pemikiran mazhab-mazhab firqah tersebut. Seperti Abul Hasan Al-Asyari mengarang kitab Maqalat Al Islamiyyin. AlSyahrastani kitabnya al-Milal wa-Nihal , Ibnu Hazmin kitabnya al-Fisal fi al-Milal wa-Nihal. Ibnu Khaldun pula menyentuhnya dalam al-Muqaddimah. Maka kita akan dapati perbezaan pendapat dan sikap kalangan ulama itu kerana berbeza zaman dan tempat.

Untuk mendapat kajian terperinci adalah lebih baik dirujuk kepada penulisan perbandingan mazhab yang agak mendalam, terperinci dan tidak terpengaruh dengan tekanan politik kerajaan masing. Di antaranya ialah karangan Al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Dr Abdul Karim Zaidan yang berada di tengah-tengah masyarakat berbagai mazhab. Sebelumnya al-San’aani daripada Syiah Zaidiyyah mengarang kitab Subul Al-Salam mensyarahkan kitab matan Hadis Bulugh Al-Maram karangan Ibnu Hajar daripada Sunni, Al-Syaukani yang berubah daripada keluarga Syiah kepada Sunni.

Kita juga wajib berwaspada dengan permainan politik dalaman umat dan musuh luar, yang sengaja mencetuskan masalah dalam tanah air dan masyarakat umat Islam .

SIKAP MUSUH TERHADAP ISLAM

Semua penulisan dan media barat meletakkan semua yang berwajah Islam dalam senarai paling bahaya, tanpa mengira mazhab, bangsa, dan ideologi politik yang dianut dan diperjuangkan, walau pun yang terpelanting daripada Islam seperti Komunis atau Islam Liberal.

Ketika memuncak perang di Semenajnung Korea tahun 50-an, dan ancaman pakatan Warsaw terhadap Negara Eropah, seorang diplomat barat membuat kenyataan bahawa Islam lebih bahaya daripada ancaman komunis. Di Malaysia juga ada kalangan yang menumpang sama.

Saya juga tidak lupa kenyataan Ehud Barak, Mantan PM dan Menteri Pertahanan Israel ketika terburainya Komunis dan pecah berkecainya Negara Sovet pada akhir tahun 80-an:

“Supaya berwaspasa terhadap kumpulan Islam yang muncul di negara Asia Tengah bekas jajahan Islam”.

Kita perlu membaca sikap kuasa besar barat dan timur terhadap Islam secara menyeluruh. Kita juga wajar memahami mengapa British berfahaman Liberal kapitalis dan sekutunya mengizinkan kemerdekaan Yaman Selatan dahulu kepada pembentukan kerajaan Komunis Maxis di antara tempat paling stratejik dan Rusia dan China mengizinkan penubuhan kerajaan pro barat di kawasan umat Islam di Asia Tengah. Dalam masa yang sama adanya pula negara Arab yang bersekongkol dalam percaturan politik kuasa besar.

Umat Islam juga dikawal habis-habisan dalam perlumbaan teknologi. Maka kalau yang maju sehingga sedikit kemajuan dalam teknologi nuklear, laksana tanda kiamat yang wajib dimusnahkan, walau pun dia seorang Islam yang zalim seperti Saddam Husain atau tolol seperti Muaamar Gaddafi. Sekalipun bertujuan untuk tenaga letrik dan sebagainya, tetap diharamkan. Saintis Iran, dikutip untuk dibunuh dan ada yang diculik ketika menunaikan haji di Makkah, tiba-tiba dapat melarikan diri ke Kedutaan Pakistan di Amerika.

Ada pun negara lain boleh membina semaju-majunya, sehingga melakukan ujian yang mengacau cuaca dunia dan keselamatan penduduk setempat, dan mengganggu keamanan dunia dengan senjata pemusnah membunuh lebih kejam daripada binatang buas.

Negara barat dan timur boleh menubuhkan apa sahaja pakatan termasuk ketenteraan, saperti NATO dan Warsaw, atau pakatan ekonomi seperti EU, AFTA, NAFTA, G7, TPPA dan sebagainya. Adapun negara umat Islam diharamkan seperti itu.

Maka OIC hanya layak bersifat NGO yang hidup segan mati tak mahu. Apabila Almarhum Erbakan PM Turki menubuh G8, maka dilumpuhkan, lebih lagi apabila mencadangkan Dinar pengganti Dollar dalam urusan kewangan antarabangsa. Tiba-tiba Erbakan (Pemimpin Parti Islam seperti PAS di Malaysia) digulingkan, termasuk Tun Mahadir pemimpin kuat Umno yang menyokong cadangan ini.

Beginilah senario membelasah Islam tanpa mengira mazhab, tanpa mengira namanya Sunni, Salaf atau Khalaf, Asyairah, Maturidiyyah, Wahabi dan lain-lain. Termasuk tanpa mengira Sunni, Syiah dan Khawarij dan lain-lain, termasuklah tanpa mengira Islam atau sekular.

Pada zaman penjajahan dahulu pihak musuh juga berjaya mencipta mazhab yang disokong oleh mereka seperti Qadiani (Ahmadiyyah) di India dan Bahai di Iran yang ditolak oleh umat Islam, sehingga terpaksa memindah pengkalan di Israel dan England.

GERAKAN ISLAM DAN HUBUNGANNYA DENGAN MAZHAB

Semua gerakan Islam Islah dan tajdid menangani berbagai mazhab dengan ilmu para ulamanya melalui taqrib kalangan mazahib yang dikira daripada Ahli al-Islam atau pun Ahli Al-Qiblah.
Hasan al-Banna
Pelopor gerakan tajdid zaman penjajahan, Jamaluddin al-Afghani yang pernah dibuang ke Iran dan kemudiannya ke Mesir, lalu bergabung dengan muridnya Muhammad Abduh memainkan peranan pada awal abad yang lalu bersama dengan Ayatullah Al-Kasyani. Usaha ini disambung oleh Hasan al-Banna, Abul ‘Aala Maududi, Nawwab Sofawai dan lain-lain. PAS juga bersama menyambung dalam usaha ini. Namun mendapat tentangan dan gangguan dalam negara dan antarabangsa. Hasan al-Banna ditembak mati di Mesir dan Nawwab Sofawi dihukum bunuh di Iran. Dua tokoh al-Azhar, selepas Syaikh Muhammad Abduh iaitu Shaikh Mustafa al-Maghari dan Mahmud Syaltut melibatkan diri dalam usaha taqrib. Selepasnya perlantikan Shaikh Azhar dikuasai oleh kerajaan Mesir.

Almarhum Dr Said Ramadan al-Misri (S/U Ikhwan Muslimin) menegaskan bahawa beliau tidak melupai demonstrasi ratusan ribu di kedutaan Mesir di Tehran apabila Sayyid Qutb dan rakan-rakannya dijatuhkan hukuman mati ditali gantung.
Syed Qutb senyum di tali gantung..
Gerakan Ikhwan al-Muslimin secara khusus mememainkan pengaruh yang besar, apabila beberapa kitab dan risalahnya diterjemahkan ke bahasa Parsi, di antara penterjemahnya ialah Ayatullah Ali Khamenei yang dilantik menjadi Imam selepas al-Khomeini. Terakhirnya, beliau mengeluarkan fatwa membatalkan beberapa ribu hadis dalam kitab mereka (al-Kulaini), yang didapati mencela para sahabat dan Umahat al-Mukminin RA.
Ayatullah Ali Khamenei
Satu pendedahan diawal revolusinya berlaku perang teluk yang belum selesai sehingga kini. Berlaku pengeboman bangunan yang mengorbankan lebih 80 orang pemimpin, mereka sebahagian besarnya terlibat dengan gerakan Islam, diantaranya ialah Ayatullah Bahasyti.

Walau pun mereka boleh bertahan, namun mereka berdepan dengan para ulama fanatik mazhab yang masih ramai dalam masyarakat yang bertindak secara negatif menyebarkan mazhab dan pandangannya di kalangan sunni, di samping negara Arab Sunni berjiran tidak menunjukkan semangat kejiranan dan persaudaraan seagama, sebaliknya bersedia menjadi pengkalan tentera kuasa besar barat yang menjadikan Iran satu ancaman besar kepada mereka. Sedangkan negara ini sangat rapat dengan Iran pada zaman Shah yang menjadi pengkalan terkuat kepada Barat.

Sikap kerajaan negara Arab terhadap kemenangan Islam di Sudan, terhadap Ghazzah, terkini di Mesir, Tunisia, dan lain-lain, sangat menunjukkan belangnya yang sebenar. Menunjukkan usaha menghalang munculnya Negara Sunni yang mampu memimpin dunia Islam - sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh Iran walaupun sudah menunjukkan arah menjadi kuasa besar dunia.

Sikapnya memutuskan hubungan dengan Israel dan membatalkan pengiktirafan yang dilakukan oleh kerajaan Shah dahulu dan keberanian membantu Hamas, dan Tanzim Jihad bukan sahaja Hizbullah, sepatutnya dilakukan oleh Negara Arab Sunni sangat memalukan.

Negara-negara besar yang terlibat dalam penubuhan Israel telah berjaya mencetuskan peperangan secara wakalah di Syria yang dianggap oleh Lawrence sejak seratus tahun yang lalu sebagai kawasan penyelamat kepada penaklukan tanah suci mereka di Palestin. Terkini dapat menghapuskan pengkalan Hamas dan Tanzim Jihad (dua kumpulan Islam Sunni), pengkalan hadapan secara lansung dengan Israel yang tidak dibenarkan di semua Negara Arab, kecuali Yaman, Sudan, Algeria, Qatar dan Lubnan, serta menyekat saluran senjata menentang Israel disebelah utara, yakni bukan hanya melibatkan Hizbullah daripada Syiah.

PETA BARU DUNIA ISLAM

Pada awal abad yang lalu, semangat kebangsaan memecahkan umat Islam berjaya menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah, iaitu peranan mazhab pada masa itu tidak besar. Pendedahan terkini melalui media baru menunjukkan, faktor mazhab dan kepelbagaian kaum dan agama yang ada dalam negeri Islam dijadikan faktor membentuk peta baru Asia Barat dan akhirnya melibatkan dunia Islam. Tujuannya ialah menyelamatkan Israel yang menjadi pengkalan hadapan dalam pertembungan dengan dunia Islam, juga penguasaan terhadap sumber pembekal tenaga dan perjalanan antarabangsa.

Pemetaan dicadangkan supaya Selatan Mesir (So’eid) dipecahkan kepada kaum yang rapat dengan Afrika yang digabungkan dengan Sudan Utara yang dipisahkan daripada Sudan Selatan dan Darfur. Negara untuk kaum Kristian Koptik juga dicadangkan. Utara Afrika dipecahkan di antara kaum Arab dan Barbar (amazigh). Syria , Iraq dan Lubnan dipecahkan kepada Sunni, Syiah, Alawi, Kurdis dan Turkuman yang memecahkan Turki pula. Begitu juga Saudi, Iran, Negara Teluk dan Yaman.

Usaha melumpuhkan ketenteraan juga dilaksanakan, setelah berjaya melumpuhkan Pakistan dan Afghanistan, Mesir dan Syria kerana masalah dalaman, dilagakan pula Saudi dan Iran secara pertembungan mazhab. Peperangan boleh dilakukan secara langsung atau wakalah (proksi) bagi kesempatan pasaran senjata dalam kalangan kuasa besar dan meleburkan wilayah Islam dengan peperangan sesama sendiri .

PENUTUP

Perpecahan mazhab yang telah wujud sejak seribu tahun dahulu tidak menghalang kemaraan dakwah dan futuhat Islam ke seluruh pelusuk dunia, kerana umat yang tulin dapat membezakan antara yang sesat dan tidak. Masa dan tenaga tidak dihabiskan oleh pertelingkahan mazhab dan firqah yang wujud, tetapi kebangkitan Islam yang sedang berlaku kini digugat dengan perkara mazhab sekiranya tidak ditangani dengan bijak oleh para ulama dan pemimpin yang insaf.

Sumber ilmu Islam secara riwayat dan dirayat sepatutnya dapat diperkasakan dengan mudah sekiranya dimanfaatkan teknologi maklumat terkini.

PAS sendiri sehingga kini berjaya menapis segala anasir fahaman dan mazhab yang cuba dimasukkan kedalam PAS atau menggangu perjalanannya, sama ada kumpulan ini keluar dengan sendiri atau dipecat.

Akhirnya bacalah firman Allah, maksudnya:

  • 103. Katakanlah (Wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?
  • 104. (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.
  • 105. merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengannya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang pertimbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.
  • 106. (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.
(Surah Surah al-Kahf : ayat 103-106)

Sekian.

*Teks ini dibentangkan semasa Wacana Pengukuhan Akidah di Unisel Shah Alam.

Sebelum ini.. 

1 comment:

sayednoordin said...

hendaknya..jangan sampai ada ..kafir mengkafir di antara berbaqgai mazhab..kerana Alah yang satu,kiblat satu,nabi yang satu,shahadah yang sama.Usah paparkan sikap ekstrim ..bahawa mazhab aku sahaja yang benar,mazhab kau salah,kafir dan masuk neraka.Neraka dan syurga ..Allah yang tentukan berpandukan amalan kita dan kepercayaan terhadapNYA.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails