Saturday, March 22, 2014

Letak Jawatan Kerana Dera Pembantu Rumah 2010. -Chew Nafi






Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang Datin Paduka Chew Mei Fun (gambar) hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau mendera pembantu rumah sehingga terpaksa melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan pada 2010.

Naib Presiden MCA itu berkata sejak BN mengumumkan pencalonannya pada 21 Februari lalu, pelbagai tuduhan keji dilontarkan untuk menjejaskan imejnya.

"Tuduhan bahawa saya meletak semua jawatan kerana takut didakwa kerana mendera pembantu rumah adalah satu fitnah. Sebenarnya saya tidak pernah mengupah pembantu rumah. Pembohongan fiksyen ini telah melampaui batas sempadan dan langsung tidak masuk akal.
"Saya memahami bahawa lawan saya mahu menang dalam pilihan raya kecil ini tetapi pembohongan sebegini adalah perkadaran kegilaan yang epik," katanya dalam satu kenyataan, di Kajang hari ini.

Beliau berkata demikian susulan terdapat risalah yang diedarkan mendakwa Chew meletakkan semua jawatan pada tahun 2010 untuk mengelak beliau daripada didakwa.

Pada 8 April 2010, Chew mencipta kontroversi apabila mengumumkan keputusannya melepaskan semua jawatan sebagai Ketua Wanita MCA serta merta akibat perselisihan dengan pucuk pimpinan parti.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat juga mendakwa Chew telah menutup Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Damansara, menindih imejnya di atas gambar seorang gadis seksi manakala Setiausaha DAP Nga Kor Ming juga melabelkannya sebagai pembantu rumah.

Selain itu, Exco Kanan Selangor Datuk Teng Chang Khim juga menawarkan Chew jawatan sebagai ahli majlis perbandaran dengan syarat beliau menarik diri daripada bertanding dalam tempoh 48 jam.

"Keazaman saya untuk memenangi pilihan raya kecil ini semakin kukuh apabila parti lawan sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan saya," katanya.

Terdahulu ketika ditemui pemberita selepas berinteraksi bersama pengundi India di sini, Chew menegaskan tidak mengenali wanita yang didakwa sebagai amah beliau dalam poster yang diedarkan.

"Gambar amah dalam poster itu langsung tidak saya kenali, mereka (pihak tidak bertanggungjawab) dengan sesuka hati menggunakan gambar mana-mana perempuan dan dicetak di atas poster dan kemudiannya menuduh itu pembantu rumah saya.
"Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan saya akan mendapatkan nasihat daripada 'legal adviser' saya selepas ini untuk berbincang mengenai perkara ini," katanya.

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang esok menyaksikan saingan satu lawan satu antara Chew dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Bernama, 22 Mac, 2014.

1 comment:

Anonymous said...

Dia masih tidak sedar bahawa sebahagian drp orang UMNO atau ahli Perkasa merupakan musuh dlm selimut. Mereka ini kecewa kerana mengharapkan calon BN dlm PRK ini hendaklah drp orang UMNO.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails