Tuesday, March 18, 2014

MH370, Kini Berada Di Sempadan Afghan -The Independent

REUTERS
BEBERAPA tentera Afghanistan berkawal di Ghaziabad yang merupakan salah satu kubu kuat pejuang Taliban di negara itu.


LONDON - Para penyiasat kini menyiasat kemungkinan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu berjaya melepasi sistem radar beberapa negara dan kini berada di sempadan Afghanistan yang merupakan kubu kuat pejuang Taliban, lapor akhbar The Independent kelmarin.

Pesawat berkenaan yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur, Malaysia menuju ke Beijing, China di percayai dilencongkan oleh seseorang yang mahir mengendalikan kapal terbang jenis Boeing 777-200 tersebut.

Pihak berkuasa Malaysia difahamkan membuat permohonan diplomatik bagi menyiasat teori bahawa pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal tersebut terbang ke salah satu kubu kuat Taliban di sempadan Afghanistan berhampiran barat laut Pakistan.

Para pegawai yang terlibat dalam siasatan berkenaan memberitahu permohonan diplomatik penuh diminta kerajaan Malaysia bagi memastikan kebenaran teori pesawat itu diterbangkan ke kawasan tersebut yang tidak dikuasai oleh mana-mana kerajaan.

Sebahagian besar selatan Afghanistan dan barat laut Pakistan dikuasai oleh pejuang Taliban.

Seorang jurucakap MAS berkata, wilayah berkenaan melibatkan bidang kuasa tertentu di mana pihak berkuasa Malaysia dan Jabatan Penerbangan Awam perlu mendapatkan kebenaran.

"Wilayah ini terletak di Pakistan dan Afghanistan dan kami tidak boleh menyiasat dakwaan tersebut tanpa mendapat kebenaran daripada kedua-dua negara itu,'' katanya.

Wilayah tersebut mempunyai pertahanan udara yang ketat dan turut mempunyai beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.

Bagi sesebuah pesawat komersial melintasi kawasan itu tanpa dikesan radar memerlukan satu peralatan navigasi yang canggih selain kemahiran tinggi juruterbang. - Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails