Wednesday, August 13, 2014

MB Pengerusi Mesyuarat Dengan 4 exco PAS Saja

 
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini dengan kehadiran empat anggota Exco kerajaan negeri.
  
Semua maklumat terkini berhubung kemelut politik di Selangor akan diumumkan selepas mesyuarat Exco itu, kata Abdul Khalid yang tiba di situ pukul 9.20 pagi.
  
Empat anggota Exco kerajaan negeri daripada PAS iaitu Dr Halimah Ali; Dr Ahmad Yunus Hairi; Iskandar Abdul Samad dan Sallehen Mukhyi turut dilihat memasuki bangunan SUK bagi menghadiri mesyuarat Exco itu.
  
Sementara itu, enam anggota Exco yang dipecatnya dilihat memasuki pejabat masing-masing tetapi tidak menyertai mesyuarat Exco.
  
Dua anggota Exco daripada DAP yang dipecat, Datuk Teng Chang Khim dan V Ganabatirau berkata mereka hadir ke pejabat untuk bekerja seperti biasa dan tidak akan menyertai mana-mana mesyuarat berkaitan Exco kerajaan negeri seperti yang diarahkan parti.

Mengulas sama ada kerajaan pakatan pembangkang masih wujud di Selangor, Teng berkata kerajaan negeri itu kini telah 'dirampas' seorang anggota dewan undangan negeri bebas.
  
Seorang lagi anggota Exco daripada DAP Ean Yong Hian Wah, yang memasuki pejabatnya pada pukul 11 pagi, berkata beliau tidak akan menyertai mesyuarat Exco dan mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatan serta merta.
  
Katanya, Abdul Khalid perlu berbuat demikian kerana pada pilihan raya umum ke-13 lepas, kerajaan negeri Selangor dibentuk oleh pakatan pembangkang dan bukannya oleh Adun Bebas.
  
"Khalid perlu ingat mandat yang diberikan rakyat tahun lepas adalah untuk PR bukan untuk dirinya...saya mahu beliau meletakkan jawatan dan kembalikan kuasa kepada rakyat," katanya.
  
Ean berkata, penyertaan anggota Exco daripada PAS dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri itu diibarat sebagai tidak menghormati semangat kerjasama pakatan pembangkang yang diperjuang sebelum ini.

Seorang anggota Exco daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Elizabeth Wong Keat Ping yang juga dipecat menyeru semua anggota exco daripada PAS supaya tidak menghadiri mesyuarat berkenaan.
  
Beliau yang hadir ke bangunan SUK kira-kira pukul 10.35 pagi ini menyatakan hanya akan melakukan tugas seperti biasa dan enggan mengulas lanjut mengenai kemelut politik Selangor.
  
Semalam, Abdul Khalid memecat enam anggota Exco daripada DAP dan PKR kerana tidak menyokong pentadbirannya.
  
Abdul Khalid telah dipecat oleh PKR kerana enggan mematuhi arahan parti untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepada presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikannya. Bagaimanapun, beliau terus memegang jawatan Menteri Besar setelah mendapat perkenan Sulan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. 
-Bernama


Sila lihat..
E-Buku IH-92: Selamatkah K'jaan PR S'gor?
E-Buku IH-92: Selamatkah K'jaan PR S'gor?
 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails