Wednesday, August 13, 2014

Awie DItuduh Cedera Isterinya, Jangan Komen...

Awie Wings Masuk Umno




HALAMAN HIBURAN

KL: Mahkamah Majistret Ampang hari ini menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang komen berhubung kes penyanyi rock kumpulan Wings, Awie yang menghadapi tuduhan mencederakan isterinya, dua bulan lepas. 
  
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman mengeluarkan nasihat itu selepas peguam Hazman Harun, yang mewakili Awie memohon supaya mahkamah melarang semua pihak agar tidak memberi sebarang komen atau kenyataan.
  
Bagaimanapun, Ayuni berkata pihak media bebas melaporkan perjalanan kes itu.

Terdahulu, Hazman berkata sejak anak guamnya dituduh di mahkamah pada 4 Julai lepas, terdapat komen dan perbincangan mengenai kes Awie atau nama sebenar, Ahmad Azhar Othman, yang didakwa dikeluarkan dalam media massa dan elektronik.
  
Komen-komen itu termasuk merit dan kesalahan yang dipertuduhkan terhadap Awie, kata peguam itu.
  
Ada pihak turut menyiarkan gambar isterinya yang boleh memprejudis tertuduh, kata Hazman.   
  
Hazman berkata komen-komen itu dianggap boleh mengganggu perbicaraan dan tertuduh perlu diberi hak untuk mendapat perbicaraan yang adil.
  
"Walaupun anak guam saya seorang selebriti dan masyarakat menganggap mereka mempunyai hak untuk membincangkan hal peribadinya, namun dia juga harus diberi hak yang sama untuk mendapat perbicaraan yang adil.
  
"Pertuduhan yang dihadapi perlu dibuktikan oleh mahkamah dan bukan melalui blog atau dada-dada akhbar," tegasnya sambil memaklumkan salinan gambar dan dokumen mengenai kes itu telah diserahkan kepada pihak pendakwaan.
  
Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene tidak membantah permohonan Hazman.
  
Mahkamah menetapkan 23 Sept depan untuk pengurusan kes.
      
Pada 4 Julai, Awie, pelakon utama filem 'Zombi Kampung Pisang' dan 'Hantu Kak Limah', mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana Misbun, 36, di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Klang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun lepas.
  
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu 'Sejati' itu, dibenarkan diikat jamin RM9,000 dengan dua penjamin didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails