Monday, May 15, 2017

Tergamak PKR Sekongkol, Ini Senarai Khianat..

Hasil carian imej untuk pkr khianat pas
LANCANG sekali Pakatan Harapan (PH) melemparkan fitnah dan menuding jari kepada PAS sebagai penyebab dalam pelbagai hiruk-pikuk politik dengan memangsakan serta meletakkan PAS di kandang pesalah. 

PKR yang merupakan rakan tahaluf PAS paling lama turut bersorak dan bertepuk tangan membuli PAS supaya akur dan mengikut telunjuk angkuh DAP dan PAN.

Malah, PKR tergamak bersekongkol dengan mereka itu yang cuba mencampuri urusan dasar, termasuk menyerang dan melemahkan PAS. Sedangkan, PAS atas kesabaran, kejujuran dan semangat setiakawan sanggup jatuh bangun bersama demi dakwah dan membimbing rakannya agar dapat membawa perubahan dalam politik dan pemerintahan negara.

Sedari awal tersingkirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, pimpinan PAS paling awal mengatur kebangkitan rakyat menerusi Gerak dan memberdayakan parti itu. Malah, dibela Anwar untuk diadili secara enar dari pelbagai pertuduhan berkait salah laku moral dan tuduhan agen asing termasuk penganiayaan atas dirinya.

Malangnya PKR begitu cepat lupa diri, angkuh dan pragmatik hingga memerlukan PAS menilai semula pertimbangan syariat berkaitan ‘Tahaluf Siyasi’ setelah berlaku pelanggaran syarat oleh PKR. Maka sebagai menjawab tuduhan dan gambaran buruk pernah diberikan, dinyatakan di sini hakikat sebenar tindak tanduk PKR terhadap PAS:

April 2013: Bersikap keras terhadap PAS dalam pembahagian beberapa kerusi hingga berlaku pertembungan dan sewenang-wenangnya meletakkan calon daripada parti lain yang bukan merupakan rakan dalam Pakatan Rakyat tanpa perbincangan dan persetujuan bersama.

April 2013: Laksamana Pertama (B) TLDM, Mohamad Imran Abd Hamid yang menyertai PAS pada 7 Oktober 2011 diambil PKR sebagai calon PRU13 Parlimen Lumut. Tindakan ‘mencuri’ ahli PAS juga berlaku di negeri lain melibatkan pengambilan sebagai calon PRU.

Disember 2013: PKR kononnya telah menasihati, tetapi dilihat sekadar membiarkan bekas calonnya di Dun Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin menyaman Presiden PAS. Malah, perkara itu digembar-gemburkan Shamsul ketika PAS mahu memberi tumpuan kepada PRK Kuala Besut yang dilihat cuba menjejas dan mensabotaj PAS.

Januari 2014: ‘Langkah Kajang’ adalah konspirasi menjatuhkan MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) dan digerakkan tanpa pengetahuan PAS. PAS melihat tiada alasan syarak untuk TSKI digantikan dan ia berunsur manipulasi yang boleh menggoyah kestabilan kerajaan negeri. Mandat rakyat bagai dipermainkan dan tumpuan masa serta wang dihabiskan untuk ‘politiking’ pilihan raya yang disengajakan.

Mac 2014: Hasrat awal memicu Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi ‘loncatan’ ke Putrajaya bertukar ‘tragedi’ oleh kes mahkamah. Pencalonan diganti dengan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (WAWI) dan beliau memenangi PRK itu. PAS walaupun tidak bersetuju dengan tindak tanduk PKR tapi tetap menurunkan jentera atas tuntutan tahaluf.

Julai 2014: Detik krisis politik Selangor memuncak dan pelbagai skandal dihadapkan terhadap TSKI oleh partinya sendiri dan Dun digambarkan menyokong WAWI. Namun, syarak mengikat PAS untuk tidak bersetuju WAWI dirintis ke jawatan MB.

Ogos 2014: Istana juga tidak memperkenan, menyebabkan berlaku ‘penderhakaan’ terhadap titah yang mengundang murka Sultan. Tetapi akhirnya TSKI menawarkan meletak jawatan. Tindakan PAS menamakan beberapa calon dikhianati ‘agen’ pro-PKR di dalam PAS.

September 2014: Berada di kedudukan baharu sebagai MB Selangor, Mohamed Azmin Ali bertindak mengurangkan kouta PAS dari seramai empat Exco yang diperuntukkan sebelum itu kepada hanya tiga Exco. Malah, penggiliran jawatan Senator kepada PAS untuk penggal itu juga tidak diberikan.

September 2014: PKR banyak dilihat beriringan dengan DAP yang menunjukkan sikap keras parti cauvinis itu kepada PAS khususnya kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang termasuk dilihat membayangi beberapa pimpinan PAS yang jelas menunjukkan sikap pro-Anwar/PKR dan DAP. Banyak kenyataan dan tindakan yang sengaja mencampuri atau mempengaruhi urusan dalaman PAS.

12 Oktober 2014: Pesta arak Octoberfest tetap dilangsungkan di Selangor dengan turut dihadiri oleh pimpinan dari DAP dan PKR yang seolah-olah mencabar sensitiviti agama dan bantahan dikemukakan oleh PAS.

17 Mac 2015: PKR menggunakan alasan ‘Fiqh al-Awlawiyat’ untuk tidak menyokong Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dan mengarahkan Adun PKR Guchil, Roslan Puteh supaya tidak menyertai perbahasan dan mengundi. PKR memberi alasan rasmi bahawa memperbetul ketidakadilan dan membela kebajikan lebih utama dari melaksana undang-undang hudud.

11 September 2015: Kejadian ‘curi’ ahli berulang apabila WAWI mengumumkan penyertaan bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar dan mantan MB Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke dalam PKR. Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Tumpat dilantik sebagai Pengarah Politik & Dasar PKR.

22 September 2015: PKR turut bersama DAP dan PAN membentuk koalisi baru iaitu PH dan mengabaikan PAS. Bahkan, banyak menyertai gabungan itu dalam memberikan reputasi negatif terhadap PAS dalam pelbagai tindakan dan rentak politik. Juga memanipulasi dan mensensasikan pendekatan-pendekatan politik PAS hingga mengundang salah faham.

Januari 2016: PKR dan PAN mengatur siri ceramah bersama di Kelantan yang kandungannya berkisar gugatan, ancaman dan serangan ke atas kedudukan PAS di negeri itu serta Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS antaranya melibatkan:

• 15 Januari > Dato’ Kamaruddin Jaafar, Azan Ismail dan Siti Aishah Shaik Ismail (Tumpat);
• 16 Januari > Rafizi Ramli (Pasir Mas & Ketereh);
• 20 Januari > Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid dan Wan Ji Wan Husin (Tumpat).


Walhal pada 13 Januari, Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Md Nawi mengutus surat rasmi kepada Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli supaya PKR tidak menerima jemputan ceramah bersama PAN di Kelantan kerana pendirian berterusan PAN untuk menjatuhkan PAS di Kelantan.


April 2016: PRN Sarawak menyaksikan persekutuan PH melibatkan DAP, PKR dan PAN turut sinikal dan mensasarkan PAS seolah-olah musuh mereka sebagaimana BN. PKR sedikitpun tidak menunjukkan diri mereka sebagai rakan tahaluf PAS.

Mei 2016: Pemimpin PKR mempertikai Usul RUU Persendirian Pindaan Akta 355 dengan skeptikal bahawa ia bermotif politik apabila mengaitkannya dengan kempen PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar serta Muktamar PAS. Lidah rasmi PKR, Suara Keadilan pula meletuskan persepsi apabila mengaitkannya sebagai usaha PAS melepaskan BN dari belenggu isu 1MDB. Perlekehan dan sinikal itu sekali gus meremehkan usaha PAS untuk memartabatkan perundangan berkaitan.

Jun 2016: PKR bukan sahaja memberi sokongan dan bantuan penuh kepada PAN dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang merupakan kerusi tradisi ditandingi PAS, malah memburuk-burukkan PAS dalam kempen. MB Selangor juga melontarkan nada amaran dan mengambil tindakan berbentuk ugutan kepada Exco PAS. Suara Keadilan pula memainkan sentimen secara batu api bernada ancaman terhadap hubungan dengan PAS. Memperlekehkan usaha memperjuangkan hudud dan merendah-rendahkan Presiden PAS.

IZWAN ABDUL HALIM
– HARAKAHDAILY 



Lihat: Peluang Kerja Kutip Buah Di Australia, Gaji RM40-48 Per Jam.. Bagaimana?

Peluang Kerja Kutip Buah Di Australia, Gaji RM40-48 Per Jam.. Bagaimana?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails