Monday, May 15, 2017

“Saya pangku tugas presiden.." -Tuan Ibrahim



Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan dirinya akan memangku tugas-tugas presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga beliau selesai menjalani rawatan insentif berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

“Saya pangku tugas presiden buat sementara sampai sihat. Pentadbiran dan pengurusan parti berjalan macam biasa,” katanya kepada Malaysiakini.

Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam satu kenyataan hari ini berkata pemimpin berusia 69 tahun itu dijadualkan akan menjalani rawatan intensif di sebuah hospital di ibu negara, bermula esok.

Katanya, kepimpinan PAS mengajak ahli dan penyokong parti itu supaya berdoa dan menunaikan solat hajat agar Abdul Hadi selamat menjalani rawatan berkenaan.

Tuan Ibrahim dalam pertemuannya dengan Abdul Hadi pagi tadi, berkata, ahli parlimen Marang itu kelihatan ceria dan sempat bergurau dengannya.

“Saya jumpa dia pagi tadi keadaan dia sangat baik, sihat dan ceria dan sempat bergurau,” katanya.

PAS bagaimanapun enggan menamakan hospital mana rawatan akan dijalankan. Tuan Ibrahim turut berkata parti itu akan mengeluarkan maklumat dari semasa ke semasa.

“Status kesihatan dia akan dimaklumkan setiap hari dan parti akan buat kenyataan rasmi pada 18 hari bulan ini,” katanya.

Abdul Hadi dilaporkan semakin uzur sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Oktober tahun lalu, akibat jadualnya yang ketat, beliau terpaksa dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi rawatan susulan biasa dan dibenarkan pulang beberapa hari kemudian.

Bagaimanapun, sebulan kemudian, iaitu pada November lalu, beliau dimasukkan pula ke sebuah hospital di Terengganu selepas mengadu keletihan.

Pada Mei 2015, Abdul Hadi dirawat di sebuah hospital di Istanbul selepas mengadu sesak nafas semasa lawatan beliau ke Turki. Beliau juga dilaporkan terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital pada bulan April 2008 kerana diserang strok yang ringan.

Minggu lalu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali memberitahu media beliau tidak akan mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS itu berhubung tindakan parti Islam untuk memutuskan hubungannya dengan PKR kerana Abdul Hadi dijadual menjalani pembedahan. (IH)


Lihat: Peluang Kerja Kutip Buah Di Australia, Gaji RM40-48 Per Jam.. Bagaimana?

Peluang Kerja Kutip Buah Di Australia, Gaji RM40-48 Per Jam.. Bagaimana?


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails