Monday, April 28, 2014

Zahid Bidas Obama: Tiada Penindasan Agama Di M'sia

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi bercakap kepada hadirin semasa bengkel Respons Keadilan Jenayah untuk Pemerdagangan Manusia (Criminal Justice Responses To Trafficking in Persons) Asean di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 28 April, 2014. 
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi bercakap kepada hadirin semasa bengkel Respons Keadilan Jenayah untuk Pemerdagangan Manusia (Criminal Justice Responses To Trafficking in Persons) Asean di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 28 April, 2014. 

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyelar Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang menyifatkan Malaysia tidak berlaku adil dalam konteks agama kepada semua kaum.
Menteri Dalam Negeri itu berkata peluang yang adil dan saksama diberikan kepada semua agama dan semua penganut agama sememangnya tidak menghadapi apa-apa kekangan mengamalkan agama di negara ini.

"Kita berikan peluang yang sama‎ kepada bukan Islam dan kerajaan Malaysia berlaku adil kepada semua agama.

"Saya tidak fikir ada halangan untuk mengamalkan agama di sini. Berat sebelah dalam agama perlu dijauhi kerana kita perlu menghormati agama lain supaya agama lain menghormati agama kita,” katanya pada satu sidang media selepas merasmikan Bengkel Keadilan Jenayah Penyeludupan Manusia kali ke-4 Asean di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Obama berkata, Malaysia perlu memastikan masyarakat bukan Islam di negara ini mendapat peluang yang sama seperti majoriti penduduk beragama Islam jika negara ini mahu terus makmur. Katanya, masyarakat bukan Islam di Malaysia pada masa ini berdepan permusuhan, dan ada yang rasa tertindas.

“Sepatutnya tidak ada alasan untuk diskriminasi, dan anda perlu memastikan anda menentang perkara ini dalam kehidupan harian.
“Malaysia tidak akan berjaya jika bukan Islam tidak mendapat peluang yang sama adil, Myanmar tidak akan berjaya jika populasi Islam di sana terus ditindas,”  katanya dalam majlis pertemuan dua hala untuk belia Asean di Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya, Kuala Lumpur semalam.

Mengulas mengenai cadangan pembentangan rang undang-undang persendirian hudud yang akan dibentangkan kerajaan negeri Kelantan di Parlimen, Zahid berkata mereka perlu serius dan melihat segala implikasi sebelum melaksanakannnya.
Katanya, pindaan terhadap Perlembagaan perlu dilakukan dan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat diperlukan bagi merealisasikan hasrat itu.

“Bukan mudah untuk melakukan sesuatu hukuman hudud, walaupun kita tidak harus menolak hudud. Harus kita ketahui hudud adalah salah satu elemen dalam banyak perundangan Islam.
“Ia bukan sahaja melibatkan pelaksanaan perundangan oleh pihak polis dan badan lain. Ia tidak semudah selepas ayam berkokok, mereka boleh melaksanakannya,”katanya.

Naib presiden Umno itu berkata selepas 20 tahun, enakmen negeri mengenai hudud diluluskan kerajaan negeri, namun pelbagai kekangan dihadapi sehingga ke hari ini, perundangan Islam itu masih gagal dilaksanakan.
Katanya, pelaksanaan dan dasar hukuman hudud perlu diteliti kerajaan negeri Kelantan sebelum keputusan lanjut dibuat untuk membentangkannya di Parlimen.

“Jelas selepas lebih 20 tahun mereka dengar ayam berkokok setiap pagi, ia masih belum dapat dilaksanakan.
“Kita tidak menolak. Aspek perundangan dan pelaksanaan harus diteliti. Undang-undang itu harus tidak lari daripada undang-undang Islam keseluruhannya dan supaya tidak menjadi rancangan ‘flip flop’ dan disanggah oleh orang lain,” katanya.

Ketika ditanya media, apakah pandangannya secara peribadi mengenai undang-undang hudud, beliau berkata: “Pendirian saya sama dengan pendirian kerajaan. Pendirian kerajaan akan diumumkan Perdana Menteri. Ahli parlimen BN juga akan berpendirian sama dengan kerajaan. – 28 April, 2014. (TMI)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sebenarnya Kerajaan Malaysia menindas agama Islam sendiri. Sudah lebih setengah abad merdeka dari penjajah tetapi masih tidak membenarkan orang Islam melaksanakan Hudud Islam  di negaranya sendiri. Masih melaksanakan perundangan tidak Islamik. Seolah-olah orang Islam ini bangsat sangat tiada hukum perundangan sendiri.

1 comment:

Unknown said...

melayu umno yang ngaku Islam MENINDAS orang Islam yang bukan orang umno .....!!!!!!!!!!!!!!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails