Wednesday, April 30, 2014

Catuan Air Di Selangor Tamat Esok




SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini secara rasmi mengumumkan catuan air yang melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 27 Februari lalu akan ditarik balik mulai esok.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, dekat sini, hari ini.
Jelas beliau, pengguna di kawasan yang terlibat akan dapat menikmati air seperti biasa mulai Khamis, manakala bagi kawasan-kawasan bertekanan rendah selewat-lewatnya Jumaat.

"Kerajaan negeri berpendapat tidak perlu menunggu empangan mencapai takungan 50 peratus kerana yakin usaha keras yang dilaksanakan seperti mengepam air kolam selain hujan dapat meningkatkan lagi paras empangan.

"Namun kerajaan negeri dan pihak terlibat akan membuat pemantauan setiap hari bagi memastikan paras empangan terus meningkat dan keputusan membatalkan perintah catuan ini akan dikaji dari semasa ke semasa," jelasnya pada sidang media.

Beliau turut memaklumkan, satu surat telah dihantar kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada 29 April bagi mendapat sokongan dan kebenaran Kerajaan Malaysia bagi menggunakan kepakaran Thailand menjalankan pembenihan awam menggunakan kaedah 'Ejectable Flare Rack'.

"Berdasarkan maklumat diperolehi terdapat sekatan untuk melakukan teknik ini kerana dipercayai unsur-unsur yang mungkin memberi kesan kepada isu keselamatan negara," sambung beliau.

Khalid turut memberitahu, kerajaan negeri turut memperhebatkan usaha untuk menambah bekalan air terutama sebagai persediaan menghadapi musim kering yang dijangkakan bermula Mei hingga September.

Ian termasuk menyediakan 10 buah pam air dari Jabatan Pengairan Saliran (JPS) yang digunakan untuk mengepam air dari kolam dan hilir sungai ke Sungai Selangor.

Kerajaan negeri juga katanya memperuntukkan sejumlah RM10 juta untuk membeli pam dan pembinaan infrastruktur bagi melakukan kerja-kerja pengepaman ini.

"Pam-pam ini juga akan digunakan untuk mengepam air sungai yang berlebihan ke kolam takungan sebagai persiapan awal dan akan dipam semula ke sungai apabila musim kering.

"Dengan kaedah ini pelepasan air dari empangan akan lebih terkawal dan tempoh empangan mencapai tahap kritikal dapat dilanjutkan antara 5 hingga 6 bulan," kata beliau lagi.

Dalam satu kenyataan lain, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim memberitahu mulai esok, pengguna air di kawasan terbabit dapat menikmati bekalan air seperti biasa.

Beliau menerima surat rasmi bertarikh 29 April 2014 dari Kerajaan Negeri Selangor yang ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berhubung keputusan menarik balik catuan tersebut.

Dalam surat tersebut, Mohamed Khusrin telah menyatakan keputusan itu telah dipersetujui di dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri Selangor mengenai catuan bekalan air yang dipengerusi oleh Menteri Besar pada Isnin lalu.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Kanan Kementerian Teknologi Hijau dan Air, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), wakil daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Selain itu juga turut hadir adalah wakil Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Puncak Niaga Sdb Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS).- HARAKAHDAILY 30/4/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails