Sunday, April 27, 2014

Hudud: Pakar Perubatan Muslim Sedia Bantu -Prof Mohd Hasmizi (PAKAR)


KUALA LUMPUR: Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Muslim Malaysia (Pakar) menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada mana-mana kerajaan negeri atau pusat berhubung perlaksanaan hukum hudud.

Presidennya, Prof Mohd Hasmizi Yunus berkata, pihaknya bersedia memberi bantuan  khususnya dari sudut kaedah atau teknikal terbaik bagi membantu memastikan perlaksanaan hukuman itu berjalan lancar.

"Pakar adalah sebuah NGO Islam, dengan ini memberikan sokongan terhadap usaha yang dilakukan oleh kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan kanun jenayah syariah II yang telah diluluskan pada tahun 1993.

"Pakar akan bersedia memberi nasihat teknikal jika perlu bagi memastikan perlaksanaan hukum tersebut lancar dan boleh memberi pencegahan kepada masyarakat umum," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam aspek perlaksanaan hukuman potong tangan pencuri yang telah sabit kesalahannya, Pakar kata beliau boleh bekerjasama memastikan bahawa hukum itu dijalankan sebaik mungkin dengan kepakaran yang ada.

Ia bertujuan untuk membantu menjaga hikmah disebalik hukuman dan tidak menyiksa pesalah, kata beliau.

Sebagai memenuhi tuntutan mentaati ajaran Islam, Pakar juga katanya akan meneliti cadangan mendapatkan bantuan doktor bedah untuk memberikan garis panduan yang selamat di dalam melaksanakan hukuman ini, agar ianya tidak bercanggah dengan etika dan profesionalisma kedoktoran serta selari dengan perlembagaan negara.

"Pakar menyedari bahawa tugas utama doktor selaku perawat kesihatan adalah memberi rawatan secara profesional kepada semua pesakit tanpa mengira warna kulit, agama atau status peribadi mereka," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyeru orang bukan Islam agar tidak bimbang kerana undang-undang syariah Islam ini hanya dikenakan ke atas orang Islam, manaka bukan Islam diberi pilihan tanpa paksaan.

Mereka juga menyeru rakan-rakan daripada organisasi bukan Islam agar tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dalam mengamalkan ajaran agama masing-masing sesuai dengan kehendak perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam perkara 3 dan 4. - HARAKAHDAILY 26/4/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails