Sunday, April 27, 2014

Hudud: PAS Sentiasa Terbuka, Sedia Jumpa & Dialog. -Presiden PAS


KOTA BAHARU: Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS sentiasa terbuka dan bersedia untuk berdialog dengan semua pihak dalam memberi penjelasan berhubung perlaksanaan hudud.

Menurut Presiden PAS itu, perbincangan dengan semua pihak itu perlu supaya setiap orang memahami dengan tepat bagaimana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, itu akan diaplikasi di negeri ini. Bagaimanapun menurut beliau, terserah keada pihak terbabit untuk menentukan masa dan tempat perbincangan tersebut.

"Kita sedia memberi penjelasan kepada semua pihak.
"(Soal tarikh) itu jangan tanya pihak kami sahaja, kena tanya pihak lain juga. Tidak jadi kalau bertepuk sebelah tangan," katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bagi mengumpul dana untuk "Wisma Ilmuan Kelantan" di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini,malam tadi. Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Sebelum ini, pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mencadangkan muzakarah antara PAS dan Umno diadakan bagi menjelaskan hasrat melaksanakan hukum Islam itu supaya pemahaman dan persetujuan bersama dapat dicapai.

Muzakarah atas isu perlaksanaan hukum syariah ini pernah dilontar oleh Ustaz Hadi sendiri ketika menyampaikan ucapan penangguhan di Stadium Malawati, sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 pada 24 November tahun lalu.

Dalam ucapan itu beliau berkata, PAS bersedia dengan barisan pakar untuk tujuan muzakarah itu seperti ulama, mahupun peguam.

"Kita ada ramai ahli. Ada yang tua, ada yang muda. Kita ada Tuan Guru Nik Aziz, Datuk Harun Taib. Kalau yang muda, kita ada Nik Abduh, Nik Zawawi. Kalau peguam, kita ada Tun Salleh Abbas atau Wan Mutalib Embong. Yang muda, ada Asmuni Awi, Hanipa Maidin," kata beliau ketika itu.

Beliau juga menegaskan bahawa PAS sudah beberapa kali berbincang dan bermuzakarah berkaitan hukum Islam, termasuk dengan DAP dan juga badan-badan agama lain. Malangnya, kata beliau yang paling kuat menentang Islam ialah Umno, bukannya DAP, malah Umno tidak pernah menghadiri majlis penjelasan berkaitan hukum Islam walaupun dipelawa PAS.

"DAP memang tidak setuju dengan Islam. Kalau dia setuju, dia dah lama masuk Islam. Tapi DAP bercakap dengan kita jika tidak setuju dengan hukum Islam. Pernah tahun 90-an kita adakan perbincangan mengenai hudud. DAP datang, persatuan kristian, buddha, sikh datang, Umno yang tidak datang," kata beliau.

Dalam pada itu, Ustaz Hadi berkata Umno tidak mampu mengikut hukum Islam kerana ia berbeza dengan ideologi perjuangan yang dibawa parti Melayu terbesar itu.

"Kalau Umno ikut, mereka akan tersangkut. Sebab itu bukan ideologi perjuangan mereka," jelas beliau. - HARAKAHDAILY 26/4/2014

1 comment:

Anonymous said...

Batu api telah mula dikosok bagi meyalakan apainya , jika percikan api telah mula keluar maka mudahlah untuk dinyalakan hanya simbah sedikit saja petrol lalu terus menyambar ,bagitulah keadaan PAS sekarang , ahli-ahli bawahan cukup ghairah untuk menyokong RUU hudud ini tapi mereka buta dalam ilmu perundangan, yang UMNO pula bodoh kerana hendak memecahbelahkan kaum sendiri sanggup mencari jalan yang mustahil untuk dperkuatkuasakan, jadi kita tunggu dan lihat bagai mana kesudahan nanti, sebabnya bukan semua orang melayu faham bab hukum hudud ini ,adakah alim ulama sudah beri penjelasan sejelas-jelasnya kepada orang islam lebih-lebih lagi yang bukan islam yang memang tak tahu langgsung bab hukum dalam islam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails