Wednesday, April 30, 2014

Nik Aziz Setuju Tubuh JK Teknikal Hudud

 
Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau secara dasarnya bersetuju dengan cadangan Umno untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal hudud peringkat kebangsaan sebelum mengemuka rang undang-undang untuk membolehkan Kelantan melaksana hudud.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Kelantan itu menegaskan bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam urusan jawatankuasa itu, lapor Sinar Harian.

“Masalah teknikal bukan kerja saya, saya hanya sebut masalah dasar, bagaimana dasar ini hendak dilaksanakan, ia perlu kepada teknikal.
“Saya tidak suka masuk campur urusan ternikal terserah kepada pihak berkenaan tapi saya menyambut baik cadangan itu, saya gembira kerana hudud yang dulunya ditentang kini diterima,” katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar itu.

Beliau dilaporkan bercakap kepada pemberita ketika kunjungan yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di pejabatnya di Institusi Pemikiran Tok Guru Kota Bharu semalam.

Beliau mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membangkitkan perkara tersebut semasa mengunjungi beliau pada hari Ahad lalu.

Muhyiddin dilaporkan menimbulkan cadangan agar jawatankuasa itu dibentuk bagi memberi kefahaman berhubung pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993, sebelum rang undang-undang persendirian dikemukakan di Parlimen.

Sementara itu, Asyraf Wajdi dalam satu lagi laporan Sinar Harian berkata beliau sedia menjalankan tanggungjawab sekiranya dijemput untuk menganggotai jawatankuasatersebut. Beliau yang juga mewakili Umno berkata, perkara itu bagaimanapun diserahkan kepada pucuk pimpinan parti sebelum diputuskan.

“Jika dipanggil, kita akan duduk (dalam jawatankuasa itu) tetapi Yadim lebih menjurus ke arah memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai Islam tanpa duduk salam jawatankuasa berkenaan pun saya rasa peranan yayasan ini boleh dimainkan.
“Sebagai wakil Umno saya serah kepada pucuk pimpinan. Jika diberikan amanah saya tidak akan menolaknya, tetapi saya kira dalam konteks ini lebih baik serahkan kepada kepimpinan untuk menentukannya,” katanya. (MK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails