Wednesday, April 30, 2014

Debat P'raya India, Berakhir Dengan Serangan Bunuh Diri?


Orang ramai cuba sedaya upaya untuk memadamkan api yang membakar Durgesh Kumar Singh selepas dia membakar dirinya dan kemudian memeluk erat ahli politik tempatan, Kamruzzama Fauji ketika debat pilihan raya sedang dirakamkan oleh sebuah stesen televisyen kebangsaan di Sultanpur, dekat Lucknow India pada Isnin.


Debat Pilihan Raya India Berakhir Dengan kejadian Ngeri

LUCKNOW (India): Satu program debat pilihan raya oleh sebuah stesen televisyen milik negara di Utara India berakhir dengan kejadian ngeri apabila salah seorang penonton naik ke atas pentas, lalu mencurahkan dirinya dengan petrol dan kemudian menyalakan api sebelum dia mendakap erat seorang ahli politik tempatan sehingga menyebabkan kedua-dua mereka terbakar dan kini berada dalam keadaan kritikal.

Program yang dihoskan oleh Saluran Doordarshan - sebuah stesen televisyen kebangsaan milik kerajaan - sedang melalui satu proses rakaman debat pilihan raya di sebuah taman di bandar Sultanpur, yang terletak kira-kira 160 kilometer dari sini pada Isnin.

Ketika perdebatan itu sedang berlangsung, seorang lelaki yang kemudiannya dikenalpasti oleh polis sebagai Durgesh Kumar Singh, muncul dari tengah-tengah khalayak ramai lalu naik ke atas pentas dan mencurahkan dirinya dengan petrol sebelum dia menyalakan api sehingga menyebabkan seluruh badannya dimamah api dan selepas itu meluru ke arah seorang pemimpin dari Parti Bahujan Samaj, bernama Kamruzzama Fauji, lalu mendakapnya erat.

Dia enggan melepaskan Kamruzzama sehingga orang ramai segera memadamkan api tersebut.
Akibatnya, Singh mengalami 95 peratus terbakar pada anggota badannya dan kini berada dalam keadaan kritikal manakala mangsanya pula 75 peratus terbakar.

"Lelaki ini dengan tiba-tiba menaiki pentas dan mencurahkan petrol ke seluruh badannya dan kemudian membakar dirinya sendiri sebelum dia dengan segera pula meluru ke arah salah seorang ahli politik yang berada di atas pentas dan mendakapnya erat," kata jurugambar Pankaj Kumar Gupta ketika ditemui oleh agensi berita AFP.
"Semua orang tergamam dan terkejut sebelum menyedari apa yang sedang berlaku," kata Gupta, yang sempat merakam insiden itu.

Dua lagi ahli politik tempatan yang turut mengambil bahagian dalam debat itu, Ram Kumar Singh dan Chowdhary Hriday Ram Verma, turut mengalami kecederaan kecil seperti kesan melecur selepas mereka cuba menyelamatkan kedua-dua orang tersebut. Motif suspek masih belum diketahui.
Pilihan raya umum India hanya akan berakhir pada 16 Mei depan dengan keputusan penuh akan dapat diketahui pada beberapa minggu selepas itu.
(mStar)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails