Monday, April 28, 2014

Chegubard Dan 2 Lagi Dilepas Tanpa Dibebas





Ketua cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin (gambar) atau "Chegubard" dan dua lagi dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan menganjurkan perhimpunan pada malam ambang tahun baharu sebagai membantah kenaikan harga barang serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Hakim Mahkamah Sesyen Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Melissa Sasidaran berikutan keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lepas yang menyifatkan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan kerana peruntukan itu di luar batas kuasa Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin perhimpunan aman.

Azman berkata sehubungan itu, adalah tidak adil untuk meneruskan pendakwaan terhadap Chegubard, 35, yang juga Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, serta Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Mohamed Bukhairy Mohamed Sofian, 23, dan Pengarah Propaganda SAMM Edy Nor Reduan, 33.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Dataran Merdeka, Jalan Raja di Kuala Lumpur antara 9 malam 31 Dis 2013 hingga 1 pagi 1 Jan lepas. Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan menggugurkan pertuduhan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad kerana menganjurkan perhimpunan Black 505.

Dalam penghakimannya, mahkamah itu memutuskan bahawa polis boleh menguatkuasakan larangan terhadap perhimpunan seperti itu namun bukan menghukum penganjur dengan mendakwa mereka apabila gagal memberi notis 10 hari sebelum tarikh perhimpunan. – Bernama, 28 April, 2014.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails