Wednesday, April 30, 2014

Tahan 9 Individu, Tunjuk Kepada Obama Kononnya...


 

KUALA LUMPUR: Penahanan sembilan rakyat Malaysia yang dikatakan terlibat dengan kegiatan militan hanya untuk menunjukkan kepada Amerika Syarikat kononnya Malaysia memiliki cara untuk menangani isu militan.

Perkara sama pernah berlaku pada tahun 1966 ketika Presiden Amerika ketika itu, Lyndon Johnson kembali ke AS selepas selesai lawatan di Malaysia.

"Kali ini, dengan kehadiran Obama (Barrack Obama) pula, sekali lagi situasi itu berlaku kononnya membuktikan Malaysia mempunyai cara untuk menangani isu militan, sedangkan tiada bukti jelas mengenai pembabitan mereka," tegas bekas Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh.

Bercakap kepada Harakahdaily, hari ini, Syed Ibrahim mengatakan tindakan kerajaan menahan dan mendakwa mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 juga mengulangi siri kezaliman seperti ISA yang dimansuhkan.

Jelas Syed Ibrahim, akta tersebut yang lebih dikenali sebagai SOSMA itu mirip seperti ISA yang dimansuhkan kerajaan sebelum ini, biarpun di bawah SOSMA ada peluang dibicarakan serta membela diri.

"Nampak seolah-olah SOSMA ini lebih baik kerana ada bicara atau ruang untuk membela diri, sebaliknya ia mungkin lebih teruk berbanding ISA kerana wujud penahanan berterusan di bawah akta tersebut," kata beliau ketika dihubungi.

Jelas beliau, seseorang yang ditahan bawah SOSMA boleh dibicarakan selepas 28 hari penahanannya, bagaimanapun sebelum tempoh tersebut mereka boleh dibawa ke mahkamah atau dikenakan alat peranti untuk memudahkan pengesanan dilakukan.

"Sekiranya mahkamah membebaskan mereka, kerajaan boleh terus membuat rayuan. Dan sementara rayuan tersebut, mereka akan terus ditahan.  Ini yang dikatakan penahanan berterusan," jelas beliau yang juga Naib Presiden IKRAM.

Menurut Syed Ibrahim, jika kes biasa, seseorang itu boleh diikat jamin dan dibebaskan sementara kes rayuan didengar.

Namun, tambah beliau bagi kes di bawah SOSMA, mereka akan terus ditahan sepanjang tempoh rayuan sebagaimana yang dikenakan ke atas Yazid Sufaat ketika ini.

"Jika ISA jelas tahanan tanpa bicara, tetapi di bawah SOSMA, nampak macam ada ruang bicara tapi hakikatnya penahanan berterusan dilakukan pihak berkuasa ke atas tertuduh," tegas beliau.

Mengulas lanjut penahanan terbaru itu, Syed Ibrahim berkata pihaknya dimaklumkan terdapat beberapa badan hak asasi yang mengambil peranan berhubung isu tersebut.

"Ada beberapa badan hak asasi sedang meneliti isu tersebut, termasuk para peguam. Memandangkan ISA sudah dimansuhkan, maka GMI juga dimansuhkan. Bagaimanapun, saya bersedia jika dipanggil untuk bersama-sama meneruskan kempen penentangan terhadap akta drakonian yang ada," tegas beliau. - HARAKAHDAILY 29/4/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails