Thursday, September 04, 2014

KEMASKINI: PKR Terima Surat Istana. SU Buat Kenyataan Tapi Tarik Balik?

Pihak istana Selangor mengesahkan penerimaan surat daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkenaan sokongan 30 Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang menyokongnya sebagai pengganti Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 September, 2014. 
Pihak istana Selangor mengesahkan penerimaan surat daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkenaan sokongan 30 Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang menyokongnya sebagai pengganti Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 September, 2014. 

PKR mengesahkan menerima surat jawapan daripada pihak istana berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor yang baharu petang tadi. Lapor The Malaysian Insider.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan berkata, istana turut mengesahkan penerimaan surat daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkenaan sokongan daripada 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang menyokongnya sebagai menteri besar untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kenyataan itu bagaimanapun ditarik balik sebaik sahaja diedarkan.


"Kenyataan itu belum disemak," kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil ketika dihubungi The Malaysian Insider apabila ditanya berkenaan penarikan kenyataan itu.

Dalam kenyataan berkenaan, PKR turut merakamkan penghargaan kepada istana kerana mengesahkan penerimaan surat pencalonan Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar Selangor.

Sementara itu menurut mStar, PKR menarik balik kenyataan mendakwa Istana Selangor tidak menolak pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, 20 minit selepas ianya diedarkan. Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengedarkan kenyataan media mengenai perkara itu kira-kira pukul 9.30 malam Rabu sebelum meminta media menarik balik kenyataan tersebut.

Ketika dihubungi Saifuddin berkata kenyataan tersebut ditarik balik kerana 'beberapa maklumat' perlu ditukar dan kenyataan terbaharu akan diedarkan pada Khamis. Dalam kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel kepada pelbagai agensi media, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengingatkan media supaya tidak menyiarkan kenyataan tersebut.

Menurut mStar lagi, kenyataan asal PKR sepatutnya merupakan maklum balas terhadap surat dari Istana Selangor yang mengingatkan parti itu supaya menghantar lebih daripada dua nama untuk dipertimbangkan Sultan Selangor sebagai menteri besar.

PKR turut merakamkan penghargaan kepada Istana kerana mengesahkan penerimaan surat bertarikh 1 September yang menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk jawatan tersebut. Saifuddin berkata, berdasarkan pemahamannya mengenai isi kandungan surat tersebut, tidak ada penolakan terhadap nama Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baru.

PKR turut menyatakan Istana turut mengingatkan agar lebih daripada dua nama dikemukakan kepada Sultan Selangor. – 3 September, 2014  (IH) 

Lihat sebelum ini..

E-Buku IH-93: Kemelut MB S'gor Tanda Kematangan Berpolitik?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails