Wednesday, September 03, 2014

Pas Kerja Tukang Masak Tapi Jadi GRO. Lagi Jenayah Premis Hiburan...

Foto SEBAHAGIAN daripada pelayan warga asing yang dicekup.

Butterworth: Pas kerja dimilikinya sebagai tukang masak, namun seorang wanita warga Vietnam menyalahgunakannya dengan menjadi pelayan pelanggan (GRO) sebelum ditahan bersama 23 lagi rakan senegaranya dalam Op Sayang di sebuah premis hiburan di Georgetown, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan dilakukan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang bermula jam 9.30 malam itu, seramai 31 individu termasuk rakyat Indonesia dan China ditahan untuk siasatan lanjut selain semakan mendapati 24 wanita Vietnam berusia antara 18 hingga 26 tahun disyaki bekerja sebagai GRO.

Turut ditahan dalam serbuan sama ialah seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an yang disyaki sebagai penjaga premis berkenaan dan keterangannya diambil untuk membantu siasatan. Pengarah Imigresen negeri Hasbullah Abd Rashid berkata, serbuan dilakukan hasil aduan orang ramai berhubung tindakan gadis berkenaan yang disyaki menawarkan perkhidmatan tidak bermoral kepada pelanggan.

“Ketika serbuan dijalankan, premis berkenaan baru saja beroperasi menyebabkan wanita berkenaan yang leka melayan pelanggan dalam ruang karaoke langsung tidak menyedari kehadiran kami untuk melakukan pemeriksaan.
“Siasatan awal mendapati sebahagian besar daripada mereka memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial manakala sebahagian lagi menyalahgunakan pas pekerjaaan yang dikeluarkan untuk mereka bekerja dalam bidang lain,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Hasbullah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wanita berkenaan menggunakan taktik pusing balik iaitu pergi ke negara jiran sebelum masuk semula ke negeri ini melalui sempadan bagi memperbaharui pas lawatan sosial masing-masing.

Beliau berkata, taktik sama diulang bagi membolehkan mereka terus berada di negara ini dan bekerja sebagai GRO berikutan tempoh laku pas lawatan sosial dikeluarkan kepada warga negara asing berada di negara ini hanya untuk 30 hari.

“Semua wanita yang ditahan memiliki dokumen perjalanan sah dan mereka didapati sering berulang-alik dari negara ini ke negara jiran dipercayai salah satu taktik memperbaharui pas lawatan sosial.
“Seorang daripada mereka dikesan menggunakan taktik sama sejak 2009 dan siasatan lanjut dilakukan untuk mengesan sama ada terdapat dalam kalangan mereka yang pernah ditahan sebelum ini atau sebaliknya,” katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/28

Komen Weblog Ibnu HasyimMenyalahgunakan Pas kerja adalah salah. Mewujudkan pusat hiburan sebagai pusat maksiat yang menjadi sarang GRO dan pemaksiat-pemaksiat lain adalah lebih salah lagi. Percuma menangkap pemaksiat, sedangkan sarangnya masih selesa dari ganggu gugat dan terus diperbesarkan. 

Seperti arahan menghapuskan gagak dengan menembaknya, sedangkan pusat kotoran tempat pembiakan gagak masih tidak diusik, bagaimana gagak nak hapus? Hapuskan pusat pembiakan kotoran, gagak akan hilang dengan sendirinya. 

Begitu juga dengan jenayah kewujudan premis hiburan!
(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails