Thursday, September 04, 2014

Hina Islam: Ahli Politik Sabah Didakwa Atas Akta Hasutan

Akaun Facebook milik David Orok banyak membicarakan isu Melayu dan Islam. – Gambar Facebook, 3 September, 2014.

Akaun Facebook milik David Orok banyak membicarakan isu Melayu dan Islam. – Gambar Facebook, 3 September, 2014.  
 
Seorang ahli Parti Reformasi Sabah, David Orok, didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 kerana kenyataan yang dibuatnya dalam laman sosial Facebook yang dianggap menghina Islam dan Nabi Muhammad.
 
The Star melaporkan ahli politik pembangkang itu didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu hari ini. Orok yang terkini didakwa atas tuduhan menghasut selepas beberapa siri tindakan dikenakan Putrajaya terhadap pemimpin pembangkang, seorang ahli akademik dan sebuah pasukan peronda sukarela.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (c) akta tersebut. Jika didapati bersalah, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun. Beliau yang tidak diwakili peguam dibebaskan dengan ikat jamin RM7,000.

Mahkamah bagaimanapun mengarahkan beliau menyerahkan pasportnya dan melapor diri ke Balai Polis Tuaran seminggu sekali sehingga tarikh perbicaraannya yang masih belum ditetapkan. Orok didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Roun, Jalan Labuaya, Topokan di Tuaran pada 4 Julai lalu.

Posting Facebook yang dibuatnya tentang Nabi Muhammad dikongsi oleh orang lain secara meluas di Facebook, Twitter dan blog. Orok kemudiannya memohon maaf kepada umat Islam, dan menyalahkan orang lain kerana mengeluarkan posting yang menyakitkan hati itu.

Postingnya itu menimbulkan kemarahan banyak pihak termasuk ahli PAS dan Umno di Sabah dengan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah Hamid Ismail menggesa tindakan diambil terhadap Orok pada bulan Julai.

Laporan polis juga dibuat terhadapnya oleh Pemuda Umno bahagian Sepanggar dan Gabungan Majlis NGO Islam Sabah. Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Orok bertanding atas tiket Star di kawasan Dewan Undangan Negeri Sulaman. – 3 September, 2014. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails