Wednesday, September 03, 2014

Khalwat: Pelakon Nafi, Pasangannya Mengaku..


Foto

HALAMAN HIBURAN

Petaling Jaya: Pelakon kontroversi, Shah Jaszle mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah, atas tuduhan berkhalwat di dalam bilik di sebuah rumah pada Mei lalu.

Shah Jaszle atau nama sebenarnya, Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin, 25, yang diwakili peguam, Asyraf A Ranee membuat pengakuan terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Abd Halim Abu Samah. Terdahulu pada prosiding semalam, Asyraf memaklumkan pihaknya akan menghantar notis representasi berhubung kes itu kepada pihak pendakwaan.

Pegawai Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli berkata, pihaknya tiada masalah sekiranya tertuduh ingin berbuat demikian kerana ia adalah mengikut prosedur, namun berharap ia diserahkan segera untuk penelitian Ketua Pendakwa Syarie.

Pelakon yang hadir memakai kemeja hitam, bersongkok dan berseluar coklat itu kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 21 Januari tahun depan untuk sebutan kes.

Bagaimanapun wanita yang didakwa bersamanya, Farah Nurizzati Salleh, 21, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan didenda RM3,000. Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Abd Halim berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan fakta kes juga tidak dibantah oleh tertuduh wanita.

Bekas pegawai bank itu turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia yang memakai jubah hitam dan berselendang hitam membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Shah Jaszle yang ketika itu masih tunangan orang dan Farah Nurizzati didakwa berkhalwat di dalam bilik 2, sebuah rumah beralamat KC-01-16 Blok C, Kayangan Apartment, Jalan PJS 1-/24, Taman Sri Subang, dekat sini, jam 3.50 pagi pada 16 Mei 2013.

Bagi pertuduhan itu mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) Tahun 1995 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan oleh pegawai penguat kuasa agama (PPA) JAIS yang bertindak atas aduan orang awam.

Ketika pemeriksaan di dalam bilik kedua rumah berkenaan, mereka menemui Farah Nurizzati yang berbaju singlet dan seluar pendek manakala Shah Jaszle memakai seluar pendek tanpa baju sedang berbaring di atas katil dengan berselimut dalam keadaan bilik yang gelap.

Hasil siasatan pihak berkuasa mendapati mereka tidak mempunyai hubungan suami isteri ataupun mahram yang sah. Sementara itu, dalam rayuannya, Farah Nurizzati memohon mahkamah mengenakan denda yang rendah terhadapnya kerana selepas kejadian itu, dia dibuang kerja.

“Selepas perkara itu terjadi saya dibuang kerja dalam tempoh 24 jam.
“Sekarang saya hilang punca pendapatan untuk menanggung ibu dan membayar ansuran kereta. Saya mohon denda dikurangkan,” rayu wanita itu.

Bagaimanapun, Shafezan berhujah hukuman yang akan diterima Farah Nurizzati perlu diambil sebagai hikmah kerana jika tidak ditangkap, mungkin perbuatan tidak elok itu akan berleluasa.

“Bagi masyarakat yang biasa dengan pergaulan bebas, ini adalah perkara biasa selagi tidak diadakan hubungan kelamin.
“Wanita yang terbabit dengan perbuatan yang boleh menimbulkan syak perlu menjaga diri sendiri. Maruah mereka sangat berharga dan tidak wajar diberi percuma kepada mana-mana lelaki yang bukan muhrim,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan pertunangan Shah Jaszle dengan Redzwani Puteri, 25, terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan, tetapi disambung semula pada hari raya Aidiladha lalu. (IH)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails