Monday, September 05, 2016

Kewangan Meruncing, Pembaziran, Salahguna Kuasa, Rasuah.. -A Kadir Jasin.

Hasil carian imej untuk kewangan meruncing
Kewangan Kerajaan Pusat Genting -A KADIR JASIN
Hasil carian imej untuk a kadir jasin

SALAH satu ciri belanjawan yang diidam-idamkan oleh semua negara di dunia dan dituntut oleh badan-badan kewangan antarabangsa adalah keseimbangan di antara hasil dan perbelanjaan. 

Inilah yang disebut sebagai belanjawan seimbang. Tetapi ia lebih berupa impian daripada kenyataan bagi kebanyakan negara. Dalam keadaan biasa pun ia sukar dicapai apatah lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang. 

Antara matlamat dan ikrar utama Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak apabila mengambil alih teraju Kementerian Kewangan pada akhir tahun 2008 ialah menghapuskan defisit belanjawan secara berperingkat. 

Kemudian sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009 beliau menjadikan belanjawan seimbangan sebagai salah satu matlamat penting Program Transformasi Nasional. Beliau berhasrat mencapai idealisme itu menjelang tahun 2020. 

Secara amnya, dasar itu menampakkan kemajuan. Defisit belanjawan, iaitu perbezaan antara hasil dan perbelanjaan, dapat dikurangkan daripada 6.7 peratus pada tahun 2009 kepada 3.2 peratus tahun lalu. Bagaimanapun, dalam tempoh itu juga hutang kerajaan melambung kerana meminjam dengan banyak untuk membiayai pembangunan. 

Akibatnya jumlah terkumpul hutang kerajaan naik dari RM250 bilion pada tahun 2010 kepada RM656 bilion pada akhir Jun lalu. Ini adalah angka rasmi yang disiarkan di internet oleh Bank Negara dan dikemaskinikan pada 30 Ogos iaitu sehari sebelum ulang tahun Hari Kebangsaan ke-59. 

Jumlah ini adalah yang paling tinggi dalam sejarah negara dan mencecah had pinjaman yang Mohd Najib sendiri tetapkan iaitu 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada tahun 2008, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan Kementerian Kewangan kepada Mohd Najib, hutang kerajaan berbanding KDNK adalah 41.24 peratus. 

Nisbah ini lebih rendah pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad. Keadaan menjadi tambah meruncing sejak sembilan bulan terakhir sehingga Jun tahun ini. Dalam tempoh itu, hasil kerajaan lebih rendah daripada belanja mengurus. Hal ini tidak pernah berlaku sebelum ini. 

Dalam bahasa yang mudah, hasil yang kerajaan pungut tidak pun cukup untuk membayar gaji kakitangan awam, menyelenggarakan harta awam dan membayar balik hutang. Hatta pungutan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pun telah jatuh di bawah jumlah yang dianggarkan kerana pengguna tidak lagi berbelanja seperti dulu. 

Hasil kerajaan pada umumnya hanya cukup untuk belanja pengurusan. Kos pengurusan tinggi kerana bilangan kakitangan awam ramai dan gaji yang mereka terima boleh dikira lumayan berbanding jumlah penduduk dan hasil kerajaan. Bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan subsidi pun datang daripada sumber yang sama. 

Untuk membangunkan negara kerajaan terpaksa berhutang. Akibatnya hutang kerajaan sangat besar. Dalam kedua-dua aspek perbelanjaan ini – pengurusan dan pembangunan – berlaku pembaziran yang besar akibat kelemahan pentadbiran, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. 

Satu lagi tanda bahawa kewangan kerajaan semakin meruncing ialah apabila kerajaan mula bermain dengan pengubahsuaian teknikal bagi memberi gambaran bahawa hasil meningkat dan hutang berkurangan. 

Misalnya, baru-baru ini kerajaan memindahkan hutang perumahan kakitangan awam sebanyak RM22 bilion kepada sebuah badan berkanun baru bernama Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam. Untuk mencari modal ia berhutang RM25 bilion dengan menjual bon yang dijamin oleh kerajaan. Pemindahan dari tangan kanan ke tangan kiri itu telah mengurangkan nisbah hutang kerajaan berbanding KDNK sebanyak kira-kira dua peratus. 

Tetapi sebaik saja hutang itu dikurangkan, kerajaan meminjam lebih banyak sehingga menyebabkan hutang terkumpul meningkat RM29 bilion dalam suku kedua tahun ini. 

Natijahnya kerajaan wajib kembali kepada ikrar perbelanjaan berhemah dengan mengurangkan pembaziran, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah bukan dengan memotong peruntukan kepada sektor kritikal seperti pelajaran, kesihatan dan ekonomi. 

Pada masa sama, ia perlu berterus terang dengan rakyat jelata mengenai keadaan sebenar ekonomi. Kerajaan boleh menggunakan jentera propaganda untuk memberi gambaran bahawa segala-galanya terkawal sedangkan kehidupan rakyat jelata semakin terdesak. Ekonomi tidak berbohong. Wallahuaklam. at 9/05/2016 12:30:00 PTG 
(IH)

2 comments:

Anonymous said...

Harga barang keperluan makin mahal.. rakyat makin susah..

Anonymous said...

Rakyat didahulukan. Fahamkan betul² maknanya. Apa² pun rakyatlah yg akan dikorbankan dahulu demi kesenangan pemerintah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails