Wednesday, September 07, 2016

Islamofobia Punca Taksub Tidak Waras P'cis Haramkan Burkini.

Hasil carian imej untuk BEBERAPA keping gambar yang memaparkan empat anggota polis Perancis memaksa seorang wanita
BEBERAPA keping gambar yang memaparkan empat anggota polis Perancis memaksa seorang wanita yang sedang bersantai di kawasan pantai di Cannes membuka pakaiannya pada 23 Ogos lalu telah mencetuskan kontroversi dan kemarahan banyak pihak.
Tindakan anggota polis itu dipercayai berkait rapat dengan keputusan pihak berkuasa di beberapa buah bandar di negara itu yang telah mengharamkan burkini. Menerusi gambar yang tersebar itu, wanita tersebut yang hanya dikenali sebagai Siam, 34, dilihat terpaksa menanggalkan jubah biru yang dipakainya manakala seorang anggota polis kelihatan sedang menulis sesuatu, dipercayai saman.
Siam kemudiannya mendedahkan surat saman tersebut menyatakan dia dikenakan tindakan kerana tidak memakai pakaian yang menunjukkan moral yang baik dan sekularisme.
“Saya sedang berehat di kawasan pantai bersama keluarga. Ketika itu, saya hanya memakai skaf kepala klasik, legging dan jubah. Saya tidak berhasrat untuk berenang,” katanya.
Seorang saksi kejadian, Mathilde Cousin berpendapat, ia sesuatu yang amat menyedihkan apatah lagi apabila beberapa pengunjung yang berada di situ telah menjerit ke arah Siam dengan berkata ‘pulang sahaja ke rumah’ selain turut bertepuk tangan menyokong tindakan anggota polis berkenaan.

Burkini
Burkini merupakan pakaian renang wanita yang diperbuat daripada poliester. Ia terdiri daripada tiga helai lapisan kain yang menutup keseluruhan badan kecuali bahagian muka, tapak tangan dan bawah kaki.
Istilah burkini diambil daripada gabungan perkataan burqa dan bikini yang merupakan pakaian wanita Muslim dan sangat popular di seluruh dunia.
Burkini berasal dari Austalia dan dicipta oleh seorang pereka fesyen warga Lebanon, Aheda Zanetti awal tahun 2004.
Aheda mendapat idea untuk mencipta burkini selepas melihat seorang anak saudaranya bermain bola jaring dalam keadaan memakai pakaian tradisional Muslim yang dikenali sebagai hijab.
Dia kemudiannya mencipta burkini mengikut garis panduan dan syariat Islam serta mendapat kelulusan daripada Mufti Besar Australia.

Tidak Higenik. 

Di Perancis, pengharaman burkini bermula pada Ogos 2009 di kolam renang awam selepas pakaian itu dianggap tidak higenik. Namun sehingga kini, peraturan itu tidak pernah dikuatkuasakan secara sah di mana-mana kolam renang di negara berkenaan.
Pada tahun 2011, undang-undang Perancis mula mengharamkan wanita memakai burqa iaitu pakaian wanita Islam yang menutup keseluruhan muka di kawasan-kawasan awam, manakala individu yang melanggar peraturan itu akan dikenakan denda 150 euro (RM677). Burga lazimnya dipakai oleh wanita dari Afghanistan.
Bagaimanapun, undang-undang itu tidak terpakai terhadap burkini kerana pakaian renang itu hanya menutup bahagian rambut dan leher serta tidak menutup bahagian muka.
Namun, selepas beberapa insiden serangan pengganas di Perancis termasuk kejadian serangan trak ketika perarakan di Nice Julai lalu yang mengorbankan 87 nyawa selain insiden pembunuhan paderi Katolik di utara bandar Rouen 12 hari selepas itu, ia telah meningkatkan sentimen Islamofobia.
Kejadian itu seolah-olah telah memberi kelebihan kepada pihak berkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi mengharamkan burkini.
Datuk Bandar Cannes, David Lisnard telah mengambil keputusan mengharamkan burkini pada Julai lalu dan menegaskan, tindakan itu dapat membantu meningkatkan kadar keselamatan di Perancis.
Selain Cannes, tindakan mengharamkan burkini turut dilaksanakan di lebih 30 bandar lain dengan Nice menjadi kawasan peranginan terbaharu di negara berkenaan yang menguatkuasakan larangan itu.

Hak Asasi Manusia
Pengharaman burkini di beberapa bandar berkenaan dilakukan sebelum kes tersebut dirujuk ke Conseil d’Etat atau Majlis Negara, mahkamah pengurusan tertinggi di Perancis oleh Liga Hak Asasi Manusia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perancis.
NGO berkenaan membawa kes tersebut ke mahkamah bagi mencabar keputusan yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Nice yang membenarkan tindakan mengharamkan pemakaian burkini seperti yang diminta oleh pihak berkuasa bandar Villeneuve-Loubet.
Datuk Bandar Villeneuve-Loubet, Lionnel Luca berhujah bahawa pakaian renang yang menutupi keseluruhan badan telah mendatangkan ancaman kepada orang ramai dan mereka yang menggunakannya akan dikenakan denda sebanyak 38 euro (RM171).
Di Corsica, Datuk Bandarnya juga mengumumkan tindakan yang sama. Malah, sebuah tribunal di Nice menganggap pengharaman burkini di Villeneuve-Loubet adalah sebagai perlu, sesuai dan berkadar bagi mengelakkan gangguan terhadap orang awam selepas beberapa insiden serangan jihad yang berlaku di Perancis.
Lebih teruk apabila Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls memberitahu, pemakaian burkini akan menggambarkan seseorang itu sebagai wanita kuno dan ia tidak sesuai dengan nilai rakyat Perancis.

Parti Sosialis
“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan ramai dalam kalangan kita yang sebenarnya tidak boleh menerima apa yang dilakukan oleh Valls,” jelas Ahli Parti Sosialis bersayap kiri, Yann Galut.
Menurut sebuah pertubuhan hak asasi manusia Perancis, perdebatan bahawa burkini mewujudkan ancaman kepada orang ramai adalah mengarut dan merupakan satu diskriminasi terhadap hak wanita.
Kumpulan masyarakat yang menyokong pemakaian burkini pula berpendapat, wanita Islam perlu diberi kebenaran untuk memakainya sebagai sebahagian daripada amalan agama berkenaan.
Mereka menuntut perkara itu dengan merujuk kepada Artikel 1 Perlembagaan Perancis yang menyatakan bahawa negara tersebut sebagai sebuah republik yang tidak membezakan, sekular, demokratik dan sosial yang menghormati semua agama.
Bagaimanapun, ketegangan terhadap isu burkini sedikit reda apabila Conseil d’Etat pada 26 Ogos lalu menggantung larangan terhadap burkini seperti yang dilaksanakan di Villeneuve-Loubet dan beberapa bandar lain.
Keputusan itu dibuat susulan permohonan daripada Liga Hak Asasi Manusia dan CIFF yang menyatakan pengharaman burkini di bandar Villeneuve-Loubet bertentangan dengan kebebasan serta kepercayaan agama individu.
Malah, tindakan pengharaman itu adalah Malah, tindakan pengharaman itu adalah jelas tidak mengikut undang-undang, melanggar hak kebebasan individu untuk datang dan pergi, selain menghalang kebebasan mengamalkan kepercayaan masing-masing.
Mengikut perundangan Perancis, keputusan sementara akan diguna pakai sehingga mahkamah mengeluarkan arahan muktamad berdasarkan fakta kes.

Amnesty International
Pengarah Amnesty International, John Dalhuisen dilihat menyambut baik langkah menarik balik larangan terhadap burkini yang dianggap telah mencetuskan diskriminasi.
“Keputusan oleh Conseil d’Etat itu merupakan satu langkah tepat untuk mengelak berlakunya sikap prejudis dan tidak bertoleransi dalam masyarakat secara berterusan.
“Sebenarnya, langkah melarang burkini tidak memberi sebarang kesan untuk meningkatkan keselamatan awam, sebaliknya ia hanya akan menggalakkan berlakunya penghinaan terhadap orang awam,” katanya. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails