Sunday, September 04, 2016

1 Maut 3 Cedera, Bom Keretapi Di Pattani.

Serangan Bom Keretapi Di Pattani: Seorang Maut, 3 Cedera
PATTANI (selatan Thailand) – Seorang pekerja keretapi maut manakala tiga rakan kerja lain cedera apabila keretapi yang dikendalikan mereka terkena letupan bom selepas melepasi stesen Nikom Khokpo di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 5.45 petang itu, keretapi enam-gerabak dengan 100 penumpang itu dalam perjalanan dari Sungai Golok ke Hatyai terkena bom seberat 20kg yang ditanam di landasan keretapi di stesen berkenaan.
Bagaimanapun, kesemua penumpang tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Pattani, Mej.Jen. Thanongsak Wangsupa berkata mangsa yang terkorban, Chavalit Khonpan, 53, dan tiga pekerja termasuk seorang wanita itu menaiki gerabak terakhir tanpa penumpang.
Beliau berkata keretapi itu singgah di stesen berkenaan dan mula bergerak apabila bom tersebut meletup di bahagian akhir keretapi berkenaan sehingga gerabak terakhir itu terputus dua.
“Salah seorang daripada tiga yang cedera itu adalah kakitangan wanita yang mengalami kecederaan parah. Mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala yang cedera dihantar ke Hospital Pattani untuk rawatan,” katanya kepada pemberita di sini.
Letupan bom telah meninggalkan lubang sedalam satu meter dan sebesar dua meter, kata Thanongsak dan menambah, polis sedang menyiasat mereka yang mendalangi serangan itu. – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails