Saturday, March 17, 2018

Solat Tahajud, Hafaz Al-Quran Rahsia Kejayaan SPM. -Nilia Nur 11A



KUANTAN, 27 Jamadilakhir 1439H, Khamis – Mendisiplinkan diri dengan tidak pernah meninggalkan solat tahajud dan solat hajat setiap malam adalah kunci kejayaan Nilia Nur Mohd Ramlan, 18, yang berjaya mendapat keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Bagi pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) itu, dorongan kuat daripada ibu bapanya yang tidak pernah memberi tekanan dalam soal pelajaran, membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk belajar bagi membuktikan dirinya mampu berjaya dan mengharumkan nama keluarga.


"Syukur Alhamdulillah sebab memang tidak sangka dapat keputusan 11A. Apa yang saya amalkan setiap hari menghafaz al-Quran serta berbuat baik kepada orang lain dan mungkin kerana itu Allah permudahkan saya untuk mencapai keputusan cemerlang," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan SPM 2017 Maahad Tahfiz Negeri Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengurus Kanan Bahagian Operasi Yayasan Pahang Airulamri Amran dan Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang Datuk Zulkifle Ali Al-Hafiz.

Muhammad Aliff Furqan Abdul Ghani, 18, yang muncul sebagai pelajar cemerlang sekolah berkenaan dengan turut memperoleh 11A, pula berkata faktor membahagikan masa dalam pelajaran dan bersukan amat penting untuk membolehkan pelajar aktif sepertinya memperoleh keputusan yang baik.

"Sekiranya waktu bersukan, saya akan fokus kepada aktiviti itu sahaja dan tidak mencampur-adukkan dengan pelajaran, begitu jugalah sebaliknya. Kebiasaannya saya lebih gemar belajar dalam keadaan senyap supaya pelajaran yang diulang kaji lebih mudah difahami," katanya.

Anak keempat dari lima beradik itu juga merancang untuk menyambung pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di University Of Cambridge, London. 

Seorang lagi pelajar yang memperoleh keputusan 11A, Muhammad Aiman Nasaruddin, 18, dari Temerloh, berkata memberi fokus kepada pelajaran yang sukar seperti Matematik Tambahan dan kerap bertanya kepada guru menjadi antara resepi kejayaannya mencapai keputusan cemerlang dalam SPM.

"Selain itu, banyakkan berdoa dan sentiasa cuba untuk dekatkan diri pada Allah. Ibadah juga jangan tinggal kerana bila kita ingat Allah, Allah akan ingat kita," katanya yang ingin menyambung pengajiannya di Universiti Islam Madinah dalam bidang Syariah. - Bernama


Lihat juga.. 
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails