Saturday, March 17, 2018

Ini Universiti Tertua Di Dunia. Bukan Oxford.




MUNGKIN Ramai yang menyangka bahawa universiti tertua di dunia adalah universiti Harvard, Universiti Cambridge atau Universiti Oxford; namun sangkaan mereka meleset sama sekali!

Universiti Al-Qarawiyyin adalah universiti pertama dunia dan ditubuhkan di bandar Fez, Maghribi pada 859 Masihi semasa pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyah.

Pada tahun 1998, Guinness Book of World Records menetapkan Universiti Al-Qarawiyyin sebagai universiti tertua dan pertama di dunia yang memberikan pembelajaran akademik.

Lebih menarik lagi universiti ini telah diasaskan oleh seorang wanita Islam iaitu Fatimah al-Fihri yang lahir di Tunisia, merupakan seorang ilmuwan dan dermawan.
FATIMAH AL-FIHRI LAHIR DI TUNISIA TELAH MENGASASKAN UNIVERSITI AL-QARAWIYYIN.
Siapa sangka, niat awalnya datang ke wilayah Fez atas urusan perdagangan seterusnya telah mencipta sejarah dengan membina Universiti Al-Qarawiyyin kerana cintakan pengetahuan Islam dan sains serta menyedari akan kepentingan pendidikan dalam Islam.
Universiti Al-Qarawiyin mempunyai perpustakaan tertua yang menempatkan sebanyak 4,000 koleksi buku unik, berserta manuskrip arab kuno yang ditulis oleh ulama terkenal di rantau ini.
Antara koleksi bahan yang tersimpan adalah Al-Quran versi abad ke-9 dan manuskrip mengenai perundangan Islam yang ditulis oleh ahli falsafah, Ibn Rushd.
Subjek yang diajarkan di Universiti al-Qarawiyyin pula terdiri dari pelbagai subjek antaranya ilmu tafsir, feqh, bahasa Arab, perubatan, matematik, falsafah, muzik, sejarah, kimia, astronomi, retorik dan sains.
Direkodkan bahawa pada abad ke 14 pelajar-pelajar di universiti tersebut sudah mencapai sebanyak 8,000 orang.
Sehingga kini, universiti tersebut menampung pelajar yang terdiri dari pelbagai bangsa dan warna kulit termasuklah pelajar Muslim, Kristian dan Yahudi.


Universiti al-Qarawiyyin telah mencapai kemasyhuran yang berprestij, melahirkan ribuan ulama berprofil tinggi yang mempunyai pengaruh yang kuat terhadap alam intelektual dan akademik di dunia Islam.
Antara ilmuwan Islam yang pernah menjadi pelajar di sini ialah Abu al-Abbas al-Zawawi, Abu Madzhab al-Fasih, Ali Africanus, Ibn al-Arabi dan ramai lagi.
Manakala antara pelajar Kristian pula ialah Gerbert Aurillac, yang memperkenalkan penggunaan sifar dan angka Arab ke Eropah, Nichola Louvain dan Deutch Golius yang juga mempelajari bahasa Arab di sana.
Bangunan universiti ini telah diperbaharui namun serba sedikit masih mengekalkan estetikanya yang asli, namun masjid dan perpustakaan masih lagi mengekalkan bangunan asal.







Dari sudut lain, bandar Fez antara bandar yang tersenarai sebagai tempat pelancongan yang menarik di dunia. Bandar ini masih mengekalkan ciri-ciri bandar lama yang dikenali sebagai “Fes al-Bali” yang sangat menakjubkan.
Jelaslah bahawa penyebaran ilmu yang berbentuk akademik sudah pun bermula pada abad ke-9 semasa era kegemilangan Islam.


Malah, penubuhan Universiti al-Qarawiyyin memberitahu bahawa dalam Islam golongan wanita tidak terhalang untuk menuntut Ilmu bahkan pengasas pusat ilmu ini juga merupakan seorang wanita.
Universiti al-Qarawiyyin seterusnya telah menjadi ilham kepada penubuhan universiti-universiti lain bertaraf dunia dan telah menjadi tempat tarikan pelajar dan pelancong ke benua Afrika itu. – (IH)



Lihat juga.. 
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails