Sunday, November 07, 2021

PRN Melaka (19): Analisis Prof Madya Dr Rusdi (UUM) &Prof Dr Sivamurugan (USM)

 

PRN Melaka: Saingan sebenar antara BN, PH - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Biarpun Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru, saingan sebenar dilihat tertumpu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar, berkata kedua-dua parti terbabit dilihat lebih dominan dalam persaingan untuk memenangi pilihan raya berkenaan berbanding Perikatan Nasional (PN).

"Kita harus ingat, biarpun kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, BN mampu memperoleh 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika itu dan saya berpandangan BN mampu mengekalkan kerusi yang dimenangi mereka sebelum ini dan akan menambah jumlah kerusi untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

"Situasi sama juga boleh dilihat pada PH namun untuk PN, ia berbeza kerana BERSATU (parti komponen PN) pada PRU-14 bertanding atas tiket PH dan ketika itu menang disebabkan jentera PKR, AMANAH dan DAP," katanya kepada BH, hari ini.

Rusdi berkata, biarpun PAS berada dalam PN, keputusan PRU-14 menunjukkan parti itu kurang diterima di Melaka berbanding BN dan PH.

Ditanya sama ada sentimen yang wujud pada PRU-14 akan berulang pada PRN Melaka, beliau berkata, perkara itu dijangka tidak akan berlaku kerana isu dan keperluan ketika ini amat berbeza.

"Sebab itu saya katakan, kelebihan adalah pada BN dan PH, bukan PN. Sentimen PRU-14 sudah tidak laku kerana rakyat hanya mahukan mereka yang benar-benar mampu menjadi juara kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berpandangan pertembungan tiga penjuru hanya akan menguntungkan PH.

Jelasnya, pertembungan antara BN dan PN akan menyebabkan undi terutama dalam kalangan pengundi Melayu berpecah.

"Apabila wujud tiga penjuru ia akan mendatangkan pertembungan sengit khususnya parti yang ada kekuatan tenaga dan jentera, ia boleh mempengaruhi pergerakan pola pengundian serta keputusan yang bakal kita lihat

"PH mempunyai kelebihan kerana akan wujud perpecahan undi bagi BN dan PN yang berkongsi penyokong serta pengundi. Saya percaya BERSATU turut bergantung kepada ahli UMNO untuk menyokongnya," katanya.


Sila lihat siri PRN Melaka:

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails