Thursday, October 21, 2021

PRN Melaka (15): Harapan, pengundi PH kembali..

 

PRN Melaka: Pengundi PH kembali ke pangkal jalan

"Penulis ingat lagi pada waktu itu penulis menghadiri ceramah-ceramah besar di Melaka melibatkan pucuk pimpinan PAS Pusat suasananya sangat suram dan ‘krik-krik’. Sangat menyedihkan."

UNDI asal yang diperolehi pada pilihan raya sebelumnya itu biasanya dipanggil undi poket. Ia dianggap sebagai undi minimum yang ‘terjamin’ bakal diterima oleh sesebuah parti itu pada pilihan raya seterusnya.

Undi ini akan dibandingkan dengan undi yang diterima parti lawan. Contohnya PAS mendapat 4,000 undi dan parti lawan yang menang mendapat 6,000 undi. Ini bermakna untuk tempoh akan datang PAS perlu mendapat lebih 2,000 undi lagi untuk menang selepas ditambah dengan undi poket tadi.

Penulis kerap kali tidak bersetuju dengan kaedah ini. Bagi penulis, sesuatu yang diperolehi pada sesuatu pilihan raya bukan jaminan bahawa ia diterima sekali lagi daripada pengundi yang sama di kawasan yang sama pada pilihan raya yang seterusnya.

Selain faktor mungkin pengundi itu mati atau bertukar, faktor mood, calon dan isu semasa juga memainkan peranan yang boleh menjadikan seseorang pengundi atas pagar itu mengundi PAS

Jadi bagi penulis, undi yang diperolehi itu tidak boleh dianggap sebagai undi poket disebabkan ketidaktentuan dan ketidakpastiannya tadi. Jadi, setiap kali pilihan raya, undi yang diterima pada pilihan raya itu adalah sesuatu yang baharu dan unik.

Tiada jaminan untuk undi itu akan diterima lagi pada pilihan raya berikutnya. Mungkin akan meningkat lebih tinggi, malah boleh jadi lebih rendah lagi.

Namun, untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas ia adalah satu-satunya pilihan raya yang bagi penulis undi yang diterima oleh PAS adalah benar-benar undi poket yang menjadi undi minimum yang bakal diperolehi parti ini pada pilihan raya seterusnya sebelum ditambah dengan undi baharu.

Mengapa begitu? Dalam pemerhatian penulis, pada PRU14, PAS sebenarnya memasuki pilihan raya dalam keadaan yang paling tercalar dengan fitnah yang dipercayai oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Pada masa itu populariti PAS berada di tahap paling buruk dalam sejarah.

Penulis ingat lagi pada waktu itu penulis menghadiri ceramah-ceramah besar di Melaka melibatkan pucuk pimpinan PAS Pusat suasananya sangat suram dan ‘krik-krik’. Sangat menyedihkan.

Tiada kemeriahan berbanding ketika PAS berada dalam Pakatan Rakyat (PR) dahulu. PAS pada masa itu benar-benar berseorangan dalam dunia yang sepi.

Kerana itu bagi penulis, undi yang diperolehi oleh PAS pada PRU14 memang benar-benar undi poket buat PAS kerana pada masa itu hanya mereka yang benar-benar yakin pada perjuangan PAS sahaja yang mengundi PAS.

Penulis tahu, ramai yang mempersendakan undi-undi yang diperolehi PAS pada PRU14 dan mempersoalkan adakah PAS mampu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dengan undi poket yang sangat rendah?

Daripada 24 kerusi yang PAS bertanding pada PRU14 di Melaka, hanya dua kerusi mendapat lebih 20 peratus undi iaitu di Dun Serkam dan Ayer Molek. Malah di 15 Dun PAS mendapat undi bawah 15 peratus.

Jadi, bagaimana PAS mahu memenangi PRN ini? Yang pertama ialah golongan yang menyesal mengundi Pakatan Harapan (PH) yang merasakan bahawa mereka telah ‘dikencing’ teruk akan berpaling daripada PH dan akan mengundi PAS dan gabungannya dalam PRN kali ini.

Juga termasuk di dalam golongan menyesal ialah ahli-ahli PAS yang pada masa itu melakukan protes besar terhadap PAS kerana PAS mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat (PR) ketika itu.

Sebahagian mereka tergamak meninggalkan PAS kerana marah dan menubuhkan PAN (Amanah). Sebahagian lagi membentuk golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘kami orang PAS tetapi kami mengundi PH’.

Dan penulis melihat bahawa golongan ini sebenarnya adalah besar dan mereka kini telah kembali semula bersama PAS selepas faham bahawa tuduhan PAS menerima RM90 juta daripada Umno itu adalah bohong.

Yang kedua sudah tentu kekuatan PAS untuk berhadapan pada PRN pada 20 November ini ialah gabungan bersama dengan PN dan BN. Jika BN tidak mahu bersama paling kurang pun bersama PN setakat ini sudah pasti.

Dengan undi poket yang PAS ada, undi penyokong parti sekutu, dan golongan menyesal yang akan berpaling daripada PH akan membentuk satu kekuatan buat PAS dan sekutunya. Ia akan memberikan kemenangan pada PAS bersama sekutunya dan seterusnya membentuk kerajaan baharu selepas PRN ini. – HARAKAHDAILY 19/10/2021

Sila lihat siri PRN Melaka:

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails