Thursday, October 14, 2021

PRN Melaka (10): Zahid Hamidi tanding.. PAS teruskan agenda perpaduan.

 

Kamaruzaman (kiri) dan Mohd Khairuddin

PAS teruskan agenda perpaduan UMNO, BERSATU

KUALA LUMPUR: PAS akan terus berusaha menjayakan agenda perpaduan membabitkan UMNO dan BERSATU, walaupun Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan partinya akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, berkata sama ada kenyataan Presiden UMNO itu dibuat atas kapasiti peribadi mahupun parti, beliau tetap yakin bahawa ada pemimpin lain dalam UMNO yang mahu perpaduan berlaku pada semua peringkat.

Justeru, beliau berkata, sebarang isu berbangkit perlu dibawa ke meja rundingan bagi mencari penyelesaiannya.

"Pada peringkat PAS, kita masih berusaha menjayakan agenda perpaduan ini.

"Saya tidak berani hendak kata itu kenyataan peribadi (Ahmad Zahid) atau UMNO. Namun jika daripada UMNO sekalipun, saya yakin ada pimpinan UMNO yang begitu menginginkan perpaduan ini pada semua peringkat.

"Kalau perkara ini dibawa bincang dengan baik, insya-Allah ada jalan penyelesaiannya," katanya kepada BH, hari ini.

Ahmad Zahid ketika diwawancara dalam program 'Jawab, Saya Tanya' bertajuk 'PRU-15: Membentuk Atau Membina Arus?' yang disiarkan secara dalam talian, malam tadi, berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain, termasuk PAS.

Ahmad Zahid dipetik berkata, antara punca tiada kerjasama dengan PAS ialah Muafakat Nasional (MN) itu sendiri tidak pernah didaftarkan.

Beliau turut menyebut mengenai pengkhianatan berulang kali terhadap UMNO ketika mengulas berkenaan MN, namun tidak memperincikan maksud kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman memaklumkan hingga kini, PAS konsisten berusaha memperkukuhkan MN dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN), kerana masih banyak yang boleh dilakukan untuk memperkasa agenda perpaduan.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan yang disifatkan sebagai 'sejarah hitam' sebelum ini, cukup untuk menjadi pengajaran bahawa kesatuan dan perpaduan umat Islam adalah teras kepada kestabilan politik negara sehingga manfaatnya dinikmati semua lapisan rakyat.

"Pengalaman itu sudah cukup untuk mengajar kita semua supaya menghargai perpaduan yang telah diusahakan bersama selepas PRU-14 sehingga kita boleh membentuk kerajaan PN dan seterusnya bawah pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Justeru, ramai pihak yang cemburu, malah berusaha siang dan malam untuk meleraikan perpaduan ini yang kunci terbesarnya ada pada PAS, UMNO dan rakan-rakan daripada BERSATU," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata ahli PAS dan UMNO rata-rata menyokong perpaduan antara dua parti berkenaan, kecuali kelompok yang didakwa 'tergoda dengan bisikan syaitan'.

Malah, beliau berkata, manfaat perpaduan itu turut mencantumkan ikatan kekeluargaan pada peringkat akar umbi, justeru tidak sepatutnya dimusnahkan.

"Adik-beradik dan sepupu-sepapat di kampung, bercantum kembali kerana perpaduan ini. Janganlah ia dicarikkan oleh kepentingan peribadi mana-mana individu pimpinan parti," katanya dalam hantaran melalui Facebook.

Dalam hantaran itu, Mohd Khairuddin turut menyertakan sekeping gambar pertemuan santai minum teh yang disertai kepemimpinan kedua-dua parti, antara lain Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. (BH)

Sila lihat siri PRN Melaka:

1 comment:

Baloon Singh said...

Sebenarnya zahid ni khadam kepada anwar untuk pecah belahkan perpaduan melayu. PH tau selagi UmNoo, Bersatu dan Pas dalam satu pasukan, maka terbeliak mata pun PH tak akan dapat menguasai Malaysia. Sebenarnya Jawa ni sebelah kaki dah masuk dalam penjara...maka kaki sebelah lagi perlu diselamatkan dengan apa cara sekali pun. Hairan juga ye...apa orang UmNoo tak perasan ke duduk perkara ni ????Ashyik nyanyi lagu "Anak kecil main api je"

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails