Wednesday, October 13, 2021

Teroka pasaran beras wangi tempatan -FGV

 

Penggunaan teknologi dron T20 di sawah mampu percepatkan proses membaja serta kawalan makhluk perosak dan penyakit oleh petani.

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV), syarikat perniagaan produk pertanian dan makanan kini giat menerokai pasaran beras wangi, justeru merancakkan pasaran produk berkenaan menerusi anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF).

Ia berikutan kejayaan pelaksanaan program Beras Wangi Fortified Field (3FR) FGVIF yang berupaya mengoptimumkan penanaman padi wangi tempatan melalui amalan dan teknologi pertanian pintar serta berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor, berkata kumpulan menyasar 3.5 peratus penguasaan beras wangi tempatan menjelang akhir 2025 di bawah jenama FGV, SAJI.

Beliau berkata, FGV komited untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) industri beras di Malaysia dan ia dapat dilakukan menerusi program 3FR FGV yang menyokong program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB), yang dimulakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2021/10/875638/fgv-teroka-pasaran-beras-wangi-tempatan#:~:text=Katanya%2C%20SMART%20SBB,import%20dari%20Thailand.

"Melangkah ke hadapan, FGV merancang untuk mengembangkan lagi kawasan penanaman padi wangi kepada 10,000 hektar dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Program 3FR itu menggabungkan kepakaran FGV dalam peningkatan prestasi sawah menerusi Pertanian 4.0 dan ketepatan perladangan yang menjimatkan dan lestari.

Ia termasuk menerapkan penggunaan teknologi dalam perladangan seperti mekanisasi, dron, Internet Kebendaan (IoT), sensor sawah, kawalan makhluk perosak dan penyakit, serta mesin penanaman padi automatik.

Semua produk sampingan yang terhasil dari perladangan sawah padi dan kilang beras wangi seperti dedak dan sekam padi tidak dibazirkan, dan digunakan sebagai komponen dalam makanan ternakan FGV di bawah jenama ALMA.

Mohd Nazrul berkata, program 3FR itu dengan pantasnya menjadi sistem tanaman pilihan petani.

Beliau berkata, bagi membantu meningkatkan hasil padi, FGV menyediakan bantuan sokongan dan bimbingan berterusan kepada mereka di samping menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi memeriksa dan memantau tanaman secara berjadual.

Katanya, FGV juga aktif dalam mempromosikan penanaman benih padi wangi MRQ76 yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam kalangan petani kontrak FGV.

"Memandangkan ekonomi negara kini dalam fasa pemulihan, inilah masanya untuk kita 'membeli barangan tempatan'. Apabila pengguna membeli beras wangi kami, mereka secara langsung membantu kehidupan petani tempatan.

"Selain itu, petani yang menanam padi wangi ini turut berpeluang meningkatkan pendapatan mereka. Setiap tuaian tanaman padi wangi menawarkan pulangan sehingga RM1,540 setiap tan berbanding RM1,200 setiap tan bagi jualan beras biasa," katanya.

Usaha pemasaran yang sedang dijalankan termasuk mengukuhkan kesedaran pengguna menerusi platform e-dagang iaitu Gogopasar, selain bekerjasama dengan pemain industri makanan yang berkaitan.

Bagi meningkatkan lagi capaian pengguna terhadap bekalan beras wangi tempatan, FGV telah menggiatkan lagi pengambilan ejen jualan di seluruh negara di samping meningkatkan kapasiti pasukan pemasarannya.

Ketika ini, program 3FR FGV sedang dilaksanakan di sawah jelapang berkeluasan 500 hektar di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut di Selangor, dan 100 hektar di IADA Seberang Perak, Perak bersama 260 petani kontrak tempatan yang dilantik.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails