Saturday, October 16, 2021

Lombong emas haram terbongkar, ini lakarannya..

 

KEADAAN satu lubang lombong emas haram yang masih aktif turut ditemui. - NSTP/Hazsyah Abdul Rahman

Lombong emas haram lebih 30 tahun terbongkar

LAHAD DATU: Aktiviti melombong emas secara haram sejak 90-an berjaya dibongkar berikutan penemuan ratusan lubang lombong di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua di Lembah Danum, dekat sini.

Ia dibongkar pasukan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan WWF serta agensi lain, pada 21 Ogos lalu.

Timbalan Komander PGA Briged Sabah, Asisten Komisioner Toipi Lamat, berkata kegiatan itu dikesan dalam OBK yang dilancarkan sejak Ogos lalu oleh Komander PGA Briged Sabah.

"Dalam operasi ini, ia memfokuskan seluruh Sabah. Ia bukan setakat di dalam hutan sahaja tetapi juga di perairan.

"Antara penemuan yang sangat penting dalam operasi ini adalah aktiviti melombong emas haram," katanya.

Toipi berkata, lokasi kegiatan mencuri khazanah negara itu berjaya dikesan hasil risikan dan maklumat awam sebelum ini.

LAKARAN kaedah melombong emas di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lembah Danum. - NSTP/Hazsyah Abdul Rahman

Beliau berkata, bukan mudah untuk petugas operasi sampai dan menemui lokasi berkenaan.

"Lokasi pelombongan ini ditemui selepas pasukan menempuh lapan hari perjalanan.

"Petugas operasi terpaksa meredah hutan tebal, jeram, mendaki dan menuruni bukit serta sungai berbatu untuk ke lokasi berkenaan," katanya.

Toipi berkata, hasil pemeriksaan di lokasi itu pihaknya menemui ratusan lubang atau lombong emas di sepanjang lapan kilometer (km) Sungai Bole.

Katanya, sebanyak 103 lubang lombong ditemui pada satu km di sepanjang tebing sungai berkenaan.

"Pelombong dipercayai menggunakan kaedah tradisional bagi melombong emas di kawasan ini berikutan penemuan dulang, alat penimbang digital, baldi dan penyodok tanah.

"Makanan seperti beras, gula, mi segera, minuman segera dan peralatan memasak, selain senjata api jenis bakakuk serta senapang guli turut ditemui di lokasi terbabit," katanya.

Turut ditemui, enam penempatan yang mempunyai 14 pondok dibina dengan kanvas termasuk rumah atas pokok. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails