Wednesday, October 20, 2021

Benar, Muassasah D/Ulum lambang jihad PAS.. -Komen IH.


Muassasah Darul Ulum lambang jihad pendidikan PAS Kedah

MUASSASAH Darul Ulum di mana Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) dan SMI Darul Ulum beroperasi hari ini, lahir daripada gagasan hebat seorang pemimpin agung, Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Nor. 

Pada pertengahan 1980-an — pada masa itu saya bersekolah menengah dalam tingkatan satu dan dua — pelbagai kontroversi menyelubungi usaha PAS Kedah untuk menghidupkan muassasah sebagai tapak penempatan pendidikan dan penghayatan Islam untuk pelbagai peringkat umur daripada kanak-kanak hingga warga emas. 

Tekanan demi tekanan diberikan oleh Kerajaan Negeri pimpinan Umno ketika itu, melalui Pejabat Tanah dan sebagainya. Atas kegigihan pimpinan PAS Negeri Kedah dan juga PAS Kawasan Padang Terap serta kawasan-kawasan lain dari seluruh negeri, usaha menghidupkan pusat komuniti berteraskan dakwah dan tarbiyyah Islamiyyah, akhirnya membuahkan hasil.

Pimpinan bersilih ganti. Kembalinya Almarhum Ustaz Fadzil ke rahmatullah, usaha menghidupkan misi diteruskan oleh para pengganti. Semasa era pentadbiran Tan Sri Dato’ Sri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar, sebuah Pusat Bahasa Arab ditubuhkan sebagai tarikan baharu ke KIDU.

Mereka yang pernah mengikuti kursus bahasa di pusat ini, mengakui ia antara yang terbaik di negara ini dalam membuat persiapan untuk seseorang pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara. KIDU dilengkapi infra dan suasana persekitaran yang amat kondusif sebagai sebuah pusat pengajian tinggi. Pelbagai kemudahan dan kelengkapan tersedia untuk menerima pelajar pada setiap sesi pengajian.

Asas penubuhan pusat pengajian ini dengan iltizam dan doa dengan usaha diterajui oleh pemimpin yang ikhlas mahu mengilmukan ummah, Ustaz Fadzil dan Ustaz Azizan, meletakkan Muassasah, KIDU, dan pusat-pusat pendidikan Islami yang lain di bawahnya berpotensi untuk berkembang jauh hingga ke peringkat serantau jika mendapat kerjasama sebaiknya daripada semua pihak yang berkaitan.

Usaha murni itu kini diteruskan oleh pimpinan generasi hari ini, YB Senator Ustaz Ahmad Yahaya selaku Pesuruhjaya PAS Negeri; Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, YAB Menteri Besar Haji Muhammad Sanusi Md Nor; YB Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, Ustaz Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Ustaz Musoddak Haji Ahmad; YB Ustaz Mohd Azam Abd Samat; Prof Dr. Mohd Suffian Yusoff serta pimpinan-pimpinan yang lain.

Di bahu merekalah terpikul tanggungjawab yang amat berat untuk memastikan isu-isu yang masih tersangkut, perlu dibereskan segera.

KIDU khususnya amat diperlukan oleh umat Islam negara ini, untuk melahirkan kader-kader dakwah yang bukan sahaja mempunyai kelulusan dalam pengajian Islam tetapi juga kemahiran dalam pelbagai aspek lain seperti komunikasi dan keterampilan sebagai pemimpin umat masa hadapan.

Marilah kita semua sama-sama mengangkat tangan berdoa agar apa sahaja urusan  KIDU dalam memartabatkan pendidikan Islam dipermudahkan oleh Allah S.W.T.

Untuk sebarang urusan atau pertanyaan berkaitan KIDU, boleh hubungi Pendaftar, Ustaz Abdul Ghani Abdullah 010-3784267 atau pejabat 011-55565754.

MUHAMAD MAT YAKIM – HARAKAHDAILY 18/10/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/596018318/posts/10159893570273319/


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Memang benar apa yang ditulis oleh Mohamad Mat Yakim (Harakah) itu. Pada kira-kira tahun 1980an nama Muassasah D/Ulum Kedah meniti bibir ahli PAS seluruh Malaysia. PAS Kedah telah menerima tekanan hebat dari pemerintah Malaysia waktu itu.  

Apa lagi, selepas berlaku...
(i) peristiwa berdarah pembunuhan beramai-ramai di Mamali, 
(ii) pembunuhan ahli PAS Lubuk Merbau Allahyarham Osman Talib.
(iii) rampasan tanah Muassasah Darul Ulum
(iv) tangkapan beramai-ramai aktvis PAS Kedah.
(v) masalah kubur Memali dan lain-lain.
 
Semasa berlaku perkara (iv) tangkapan beramai-ramai atau tangkapan borong, ada aktivis PAS berada di luar negara atau berhijrah, dan ambil masa bertenang. Antaranya ialah seorang sahabat saya Ust Osman Marzuki (Allahyarham) dari Pokok Sena.

Pada suatu hari Presiden PAS waktu itu, Ust Fadhil Mohd Noor (Allahyarham) mengamanahkan kepada saya supaya memanggil balik Osman Marzuki yang berada di Pattani Thailand, pulang menghidupi kembali tanah Muassasah D/Ulum supaya tidak terbengkalai.

"Ajaklah dia balik!" kata Ust Fadhil kepada saya. "Aku dengaq operasi tangkap borong tu dah selesai. Mai kita buat kerja kita.".

Ust Osman pernah ditahan di bawah akta ISA beberapa tahun sebelumnya. Dia pulang ke Muassasah, buka pekan hari, bina penempatan, sekolah dan lain-lain dalam suasana penekanan dari kerajaan negeri Kedah.

Ust Fadzil pula menjelajah ke seluruh negara mencari bantuan bagi menyiapkan pembelian tanah muassasah dan pembangunannya. Maka tepatlah dikatakan  Muassasah D/Ulum antara lambang jihad PAS..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails