Wednesday, October 20, 2021

PRN Melaka (14): Kajian PAS Melaka, ramai tak mahu.

 

Kajian PAS Melaka, ramai tak mahu PRN

MELAKA: Kajian rambang PAS Melaka mendapati ramai anggota komuniti di negeri ini menolak Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan pada 20 November ini.

Ia kerana mereka bimbang pandemik COVID-19 akan meningkat mendadak seperti yang berlaku dalam PRN Sabah tahun lalu, sekali gus menyebabkan Hospital Melaka yang merawat kebanyakan pesakit COVID-19, kembali sesak.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, kajian berkenaan dilakukan pemimpin dan petugas parti itu di peringkat akar umbi sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 4 Oktober lalu.

"Kami agak terkejut apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN akan diadakan pada 20 November ini dan hari penamaan calon pada 8 November.

"Kami sudah menjalankan kajian rambang dan mendapati majoriti anggota komuniti tidak mahu PRN diadakan kerana selain bimbang COVID-19 menular kembali, mereka juga tidak mahu wang kerajaan dibazirkan begitu sahaja semata-mata untuk mengadakan PRN," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan 20 November sebagai tarikh pengundian bagi PRN Melaka manakala 8 November bagi penamaan calon dan undi awal 16 November ini.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, semua parti politik yang bertanding dalam PRN Melaka harus sedar kemenangan calon masing-masing bergantung kepada pilihan pengundi atas pagar.

"Pengundi kental parti tertentu diyakini tidak akan mengubah keputusan untuk mengundi calon parti masing-masing tetapi pengundi atas pagar berfikiran lain daripada pengundi tegar.

"Mereka inilah yang menentukan kemenangan calon tertentu atau bagi mereka yang sudah bosan dengan percaturan politik, tidak mahu keluar mengundi," katanya.

Beliau berkata, ada anggota komuniti dan pemimpin tertentu dalam masyarakat berharap Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat di negeri ini bagi mengelakkan PRN diadakan.

Katanya, jika darurat diisytiharkan, tiada pihak yang boleh mendabik dada menyatakan mereka mendapat sokongan majoriti rakyat.

Bagaimanapun, PAS Melaka tetap membuat persediaan menghadapi PRN, terutama dari aspek menyusun jentera pilihan raya, selain berunding dengan BERSATU yang menjadi sekutu utama dalam Perikatan Nasional (PN), katanya.

Mengenai kerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN), PAS Melaka menyerahkannya kepada kebijaksanaan PAS Pusat untuk membuat keputusan muktamad.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Kamarudin yang bertanding di DUN Duyong tewas kepada Damian Baba Yoe dari DAP.

PAS Melaka bertanding di 24 daripada 28 kerusi DUN Melaka pada PRU-14 tetapi tidak menang walau satu kerusi.

Sila lihat siri PRN Melaka:

1 comment:

Unknown said...

Moga Allah lindungi kita semua.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails