Friday, November 12, 2021

Malaysia-Brunei kongsi usaha tangani perubahan iklim

 

KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Brunei Darussalam untuk membangunkan ASEAN Climate Change Centre dan menganjurkan ASEAN Youth on Climate Action tidak lama lagi.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Dato’ Sri Tuan Man Tuan Ibrahim berkata, Malaysia juga berbesar hati bekerjasama dalam menjayakan inisiatif tersebut.

“Apa yang lebih penting lagi ialah usaha kolektif untuk melestarikan alam sekitar di rantau ASEAN,” katanya pada catatan di laman sosialnya hari ini.

Sebelum itu beliau mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Pembangunan Brunei Darussalam Dato’ Seri Setia Ir Awang Suhaimi Gafar sempena Persidangan Peringkat Tertinggi UNFCCC COP-26.

Tuan Ibrahim juga berkata, pada pertemuan itu beliau berkongsi usaha Malaysia menangani cabaran perubahan iklim.

“Saya turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Brunei kerana menyediakan Kenyataan Bersama ASEAN bagi COP-26.

“Kenyataan Bersama ASEAN merupakan manifestasi solidariti serantau terhadap agenda perubahan iklim,” ujarnya.

Petang semalam Tuan Ibrahim menyampaikan kenyataan Malaysia di Sidang Peringkat Tertinggi UNFCCC COP-2.

Menurutnya juga Malaysia akan terus komited meneraju usaha dan rencana yang telah digariskan demi kelestarian alam sekitar.

“Terima kasih saya rakamkan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan Malaysia, delegasi negara, pegawai KASA dan semua pihak yang terlibat,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 11/11/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails