Sunday, November 07, 2021

Turun kadar tol 13 lebuh raya L/Klang... Mana janji lidah biawak manifesto PH?

 

Kadar tol 13 lebuh raya Lembah Klang mungkin diturunkan

KUALA LUMPUR: Kadar tol di 13 lebuh raya dalam bandar di Lembah Klang berkemungkinan akan diturunkan selaras usaha kerajaan untuk menstruktur semula kadar tol lebuh raya di seluruh negara.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perkara itu antara tumpuan rundingan bersama membabitkan kementeriannya dengan tiga syarikat konsesi utama lebuh raya dalam bandar di Lembah Klang, iaitu Lebuh Raya Gamuda Berhad (Gamuda), Lebuh Raya Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan IJM Corporation Berhad (IJM).

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya sudah menerima cadangan daripada ketiga-tiga syarikat konsesi berkenaan yang menawarkan sama ada menurun atau menetapkan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi.

"Cadangan daripada tiga pemegang konsesi lebuh raya itu juga sudah dibawa ke mesyuarat Kabinet oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), semalam (kelmarin).

"Rundingan bersama syarikat konsesi lebuh raya utama ini adalah bagi tujuan penetapan kadar tol baharu yang lebih rendah supaya tidak membebankan rakyat," katanya kepada BH.

Gamuda adalah pemegang konsesi kepada empat lebuh raya di Lembah Klang iaitu Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT); KESAS Sdn Bhd (KESAS); Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) dan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP).

Prolintas memegang konsesi bagi enam lebuh raya iaitu Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH); Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE); Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA); Lebuh Raya Kajang SILK (SILK); Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

IJM pula menjadi pemegang konsesi untuk tiga lebuh raya Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA); New Pantai Expressway (NPE) dan Lebuh Raya Kajang Seremban (LEKAS).

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, sekiranya rundingan itu berjaya menetapkan kadar tol lebih rendah, cadangan sama akan digunakan sebagai asas untuk menstruktur semula kadar tol lebuh raya di luar Lembah Klang.

"Kalau sudah ada hala tuju bagi ketiga-tiga pemegang konsesi ini, kita boleh bincang untuk lebuh raya dalam bandar di luar Lembah Klang seperti di Pulau Pinang dan Johor. Itu belum kita lihat secara terperinci," katanya.

Beliau berkata, penstrukturan semula kadar tol lebuh raya itu adalah antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan KKR untuk dicapai dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Fadillah, konsep lebuh raya di seluruh negara khususnya dalam bandar perlu dilihat semula selepas berlakunya penstrukturan Lebuh raya Plus Malaysia Bhd (PLUS), yang menyaksikan kadar tol di semua lebuh raya kendalian syarikat itu dikurangkan sebanyak 18 peratus tahun lalu.

"Apabila kadar tol lebuh raya PLUS dikurangkan 18 peratus, ada lebuh raya dalam bandar terjejas kerana kadar penggunanya berkurangan memandangkan tol lebuh raya PLUS lebih murah.

"Dahulu, pihak yang mencadangkan pembinaan lebuh raya menggunakan kadar ditetapkan PLUS untuk menentukan kadar tol di lebuh raya mereka.

"Apabila tol lebuh raya PLUS turun, kadar tol lain masih tinggi dan ini sekali gus menyebabkan keseluruhan aturan konsesi lebuh raya terjejas. Inilah yang kita mahu selesaikan," katanya.

Penstrukturan semula kadar tol itu dilihat sebagai susulan kepada kenyataan Fadillah pada Ogos tahun lalu, mengenai hasrat kerajaan untuk mengkaji semula diskaun 18 peratus bagi semua tol PLUS kerana diskaun yang dilaksanakan ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) itu mempunyai kesan ke atas lebuh raya lain.

April lalu, Fadillah dilaporkan berkata, kerajaan membatalkan perancangan mengambil alih empat lebuh raya di Lembah Klang daripada Gamuda iaitu LITRAK, SPRINT, KESAS dan SMART membabitkan nilai RM6.2 bilion, yang ditawarkan pada 2019.

Empat lebuh raya terbabit ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK), SPRINT), KESAS dan SMART.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beban perlu ditanggung kerajaan untuk melaksanakan proses pengambilalihan lebuh raya berkenaan.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Rakyat menuntut mana janji PH (Pakatan Rakyat) untuk membasmi harga tol seperti dijanjikan manifestonya? Mana janji lidah biawak antara penyebab ghuyup setelah  memerintah 22 bulan?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails