Tuesday, November 09, 2021

Dr Kamarul Zaman: Bajet 2022, PH meludah ke muka sendiri?

 

LUCU sekali membaca kenyataan-kenyataan Lim Guan Eng, Dr P Ramasamy, Wong Chen dan Dr Muhammed Abdul Khalid yang mengkritik keras Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Tengku Dato’ Seri Utama Zafrul kerana kononnya mengkesampingkan kaum Cina dan kaum India dengan memperuntukkan hanya RM345 juta sebagai bantuan khusus kepada mereka.

Memang betul bantuan khusus kepada kaum Cina dalam Bajet 2022 ialah RM200 juta iaitu ‘untuk melaksanakan program baik pulih rumah dan kemajuan kampung baru, akses pembiayaan bagi penduduk kampung baru dan Skim Pembiayaan Usahawan PKS’.

Memang betul juga bantuan khusus kepada kaum India dalam Bajet 2022 ialah RM145 juta iaitu ‘untuk melaksanakan program memperkasa sosioekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh TEKUN’.

Begitupun, sebelum menghentam peruntukan bantuan khusus RM345 juta kepada kaum Cina dan kaum India ini sebagai terlalu kecil, perlulah diteliti balik berapakah pula peruntukan bantuan khusus kepada kaum Cina dan kaum India yang terkandung di dalam Bajet 2020 yang dibentangkan oleh Lim Guan Eng sewaktu PH memerintah dahulu.

Tidakkah peruntukan bantuan khusus kepada kaum Cina dan kaum India yang terkandung di dalam Bajet 2020 yang dibentangkan oleh Lim Guan Eng sewaktu PH memerintah dahulu hanyalah sekadar RM305 juta sahaja meliputi RM185 juta bantuan khusus kepada kaum Cina dan RM120 juta bantuan khusus kepada kaum India sahaja?

Jika sudah lupa, sila baca balik pengumuman Lim Guan Eng mengenai bantuan khusus kepada kaum Cina dalam Bajet 2020 ini:
(1) ‘Pentadbiran Pakatan Harapan menyediakan pinjaman sebanyak RM100 juta di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komoditi Cina. Pembiayaan ini akan diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional yang mempunyai lebih 380 cawangan di seluruh negara dengan kadar faedah empat peratus setahun.’
(2) ‘Bagi menyokong pembangunan dan pembaikan meliputi: infrastruktur asas di Kampung-Kampung Baru, kerajaan akan menyediakan RM85 juta pada tahun 2020.’

Sila baca balik juga pengumuman Lim Guan Eng mengenai bantuan khusus kepada kaum India dalam Bajet 2020 ini:
(1) ‘Bagi usahawan etnik India, kerajaan akan menyediakan pinjaman sebanyak RM20 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India, TEKUN Nasional yang dijangka memberi manfaat kepada 1,300 usahawan India juga dengan kadar faedah empat peratus setahun.’
(2) ‘Kerajaan peka dan prihatin terhadap kesukaran dan cabaran khusus yang dihadapi oleh masyarakat India. Oleh itu, kerajaan sekali lagi akan memperuntukkan geran sebanyak RM100 juta kepada Unit Transformasi India Malaysia (MITRA) di mana 80 peratus dikhususkan kepada program yang dilaksanakan dan bukannya kepada organisasi tertentu. Ia bertujuan menambah baik keadaan sosioekonomi, kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan wanita serta pembangunan kemahiran masyarakat India.’

Mana lebih besar jumlah peruntukan bantuan khusus RM345 juta kepada kaum Cina dan kaum India yang diberikan oleh Tengku Dato’ Seri Utama Zafrul dalam Bajet 2022 berbanding jumlah peruntukan bantuan khusus RM305 juta kepada kaum Cina dan kaum India yang diberikan oleh Lim Guan Eng dalam Bajet 2020?

Jika Lim Guan Eng, Dr P Ramasamy, Wong Chen dan Dr Muhammed Abdul Khalid berpendapat bahawa peruntukan bantuan khusus RM345 juta kepada kaum Cina dan kaum India yang diberikan oleh Tengku Dato’ Seri Utama Zafrul dalam Bajet 2022 adalah terlalu kecil, mengapakah sewaktu PH memerintah dahulu mereka sendiri tidak mengusahakan supaya peruntukan bantuan khusus kepada kaum Cina dan kaum India dibesarkan?

Inilah agaknya yang dikatakan peribahasa Melayu ‘meludah ke langit jatuh ke muka sendiri’.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 8/11/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails