Saturday, November 13, 2021

Ke Arah bangun bersama Islam, gerakkan koperasi masjid -Abu Hashim

 Abu Hashim berhasrat gerakkan koperasi masjid


MELAKA: Abu Hashim Abdul Samad, calon Perikatan Nasional daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning pada Pilihan Raya Ngeri (PRN) Melaka, berhasrat mewujudkan dan menggerakkan koperasi masjid untuk dimanfaatkan ahli kariah masjid di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Al-Muhsinin Melekek Luar, Alor Gajah berkata, kini koperasi masjid yang digerakkan bersama ahli kariah masjid itu berjaya membantu keluarga yang kurang berkemampuan di kawasan berkenaan.

Katanya, sepanjang tempoh setahun berusaha menggerakkan koperasi itu, terdapat beberapa individu yang amat berterima kasih di atas inisiatif itu.

Selain itu, beliau yang dikenali sebagai Cikgu Hashim mendapati terdapat banyak peluang untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan melalui koperasi masjid.

Contohnya kata beliau, kini beliau memfokuskan kepada usaha membangunkan kedai runcit yang dinamakan Muslim Mart Koperasi Al Muhsinin.

“Sekarang kita fokus bangunkan kedai runcit. Keduanya, projek pertanian berkelompok sebab kita lihat ada koperasi yang berjaya buat pertanian berkelompok berekar-ekar.

“Masjid bukan sekadar beramal ibadah, kita akan kembangkan usaha ini kepada semua masjid yang ada di Taboh Naning, lapan kesemuanya sekiranya saya diberi mandat,” katanya.

Beliau yakin akan lebih menguntungkan koperasi sekiranya dikembangkan usaha itu selain percaya barang yang diperoleh untuk dipasarkan akan menjadi lebih berpatutan sekiranya dibeli dengan kuantiti yang lebih banyak.

Tambah beliau, usahanya bersama ahli kariah turut mendapat sokongan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selain diiktiraf sebagai koperasi kariah masjid paling aktif di Melaka.

Cikgu Hashim merupakan bekas Pegawai Pendidikan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan berpengalaman menjadi guru besar dan guru penolong kanan selama dua tahun.

Beliau juga aktif dalam menabur khidmat sebagai Askar Wataniah dan mempunyai pangkat sebagai pegawai kanan berpangkat Leftenan Kolonel Rejimen Askar Wataniah Melaka dan Pegawai Memerintah Batalion Leftenan Kolonel Rejimen Askar Wataniah Daerah Alor Gajah. – HARAKAHDAILY 12/11/2021

Lihat PRU Melaka..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails