Sunday, November 07, 2021

PAS perlu konsisten pendekatan politik jujur, bersih

 

KUALA NERUS: PAS perlu konsisten dengan menampilkan pendekatan politik jujur serta bersih, selain rakyat sendiri perlu memilih pemimpin yang mempunyai sifat integriti demi untuk memulihkan negara.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat yang mengundi dan memilih pemimpin juga mestilah berintegriti bukan hanya berdasarkan faktor umur, malah juga berasaskan kematangan akal dan ilmunya.

“Kukuhnya integriti itu laksana teras yang tidak akan musnah dan cahaya yang tidak akan padam, sekalipun dilanda dengan segala ribut taufan dan gelombang lautan yang besar, hatta gempa bumi yang paling kuat.

Mereka yang gagal dalam integriti, akan tenggelam dalam cabaran yang mengepung kehidupannya dan dalam partinya sendiri serta berlaku krisis nilai diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

Sementara itu katanya, tiada faedah sekiranya pimpinan itu sekadar mendapat jumlah sokongan majoriti yang besar tetapi tidak berintegriti.

“Sekiranya pada awal lagi sudah mula berbohong kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan majoriti. Berbohong itu sahaja sudah cukup untuk menjadi tanda hilangnya integriti, yang pasti mengundang semua perangai buruk yang lain, termasuk menjadi kleptokrat.

“Kehilangan integriti pemimpin diikuti dengan kelemahan kerajaan dan penamatnya dengan kemusnahan negara,” katanya.

Oleh itu katanya, integriti adalah suatu amalan bersikap jujur dan menunjukkan kepatuhan tanpa kompromi terhadap prinsip dan nilai moral serta etika yang kuat.

“Integriti bukanlah cakap-cakap kosong yang sekadar menjadi slogan. Konsep ini berlaku melalui tarbiyah jasad, akal dan roh. Konsep yang tidak wujud dalam prinsip sekularisme yang memisahkan aspek politik daripada agama,” katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, objektif berintegriti bukan sahaja dicapai melalui pemimpin yang berilmu dan berakhlak, bahkan juga hendaklah mendirikan solat dan sentiasa mempunyai hubungan dengan Allah SWT.

“Sehingga ketika memimpin dan mengurus negara, para pemimpin sentiasa tetap berhubung dengan Allah SWT.

“Setelah berjaya memenangi pilihan raya dan memerintah, PAS telah membuktikan melalui tarbiyah dalam parti dengan membuka pintu 24 jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan tugas mereka secara langsung, katanya.

Malah, SPRM turut dibenarkan bertindak tanpa sebarang halangan terhadap semua Menteri Besar, Exco Kerajaan Negeri dan anggota kerajaan.

“Kita mengambil contoh daripada pemimpin PAS yang sudah meninggal dunia kerana orang yang masih hidup tetap masih berada dalam ujian.

“Termasuklah sehingga hari ini, pemimpin PAS yang masih hidup dapat membuktikan pentadbiran kerajaan yang bersih daripada rasuah dan salah laku.

“Begitu juga ketika PAS berada dalam Kerajaan Pusat dari tahun 1973 sehingga tahun 1978, dan kini diuji bersama Kerajaan PN,” katanya.

Selain itu, PAS juga mewajibkan calon wakil rakyat yang bertanding untuk berbaiah dengan sumpah setia demi Allah SWT dan pada masa yang sama, tidak mengkhianati dasar dan konsep perjuangan, dengan keimanan kepada hukum baiah. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails