Sunday, May 22, 2016

'Rasuah Perempuan' Di S'gor: Rafizi Jawab Azmin.

Post Pic
Wakil rakyat, penjawat awam di Selangor tak terlibat dakwaan rasuah wang, wanita - Rafizi

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mengesahkan pernah menerima aduan berhubung rasuah wang dan wanita ketika berurusan dengan kerajaan Selangor seperti yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp.

Namun ujarnya, tuduhan itu ditujukan khusus kepada individu tertentu, bukannya melibatkan wakil rakyat ataupun penjawat awam di Selangor.

“Tuduhan itu bukan terhadap individu yang menjawat kerusi wakil rakyat (baik di Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat atau Dewan Negara, sama ada yang masih berkhidmat atau telah bersara) atau mana-mana kakitangan kerajaan di mana-mana jabatan di bawah kerajaan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, nama Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang dinyatakan dalam mesej itu tidak boleh disalahertikan sebagai tuduhan terhadap Ketua Wanita PKR itu atau mana-mana pimpinan parti berkenaan.

“Saya boleh mengesahkan bahawa saya merujuk kepada YB Zuraida Kamaruddin di dalam mesej yang dibocorkan itu.
“Rujukan itu adalah dalam nada dan niat yang baik kerana saya pernah meluahkan kebimbangan saya kepada beliau di dalam komunikasi WhatsApp lebih sebulan lalu bahawa kita (pimpinan PKR) sepatutnya lebih peka dan sensitif kepada apa-apa tuduhan rasuah atau salah laku melibatkan anggota kita, terutamanya di peringkat bawah dan tidak menolak mentah-mentah tuduhan sebegitu.
“Zuraida Kamaruddin adalah Timbalan Pengerusi PKR Selangor dan lebih rapat dengan akar umbi parti di Selangor, sebab itu pandangan saya diluahkan secara peribadi kepada beliau lebih sebulan lalu,” katanya.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, laporan berhubung dakwaan khusus itu akan diserahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut daripadanya.

Perbualan kumpulan WhatsApp ‘SOLIDARITY FOR ANWAR’ itu mula tersebar sejak semalam, Rafizi dikatakan sedang mengumpul maklumat berkaitan dakwaan itu.

Exco Selangor, Amirudin Shari yang ditemui dalam sebuah program semalam turut menafikan dakwaan rasuah membabitkan wang dan “permintaan perempuan” ketika berurusan dengan kerajaan negeri itu.
AZMIN ALI_SELANGOR_MB

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tuduhan kerajaan Selangor meminta habuan wang dan perempuan untuk memudahkan sesuatu urusan adalah kempen fitnah terancang yang menjijikkan.

Beliau berkata, orang yang menuduh itu telah mencemarkan nama baik, maruah serta integriti perkhidmatan awam negeri kerana melakukan serangan jahat dan semberono. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli bahawa ada ‘bona fide’ datang kepadanya dengan aduan bahawa selain wang, kerajaan negeri meminta perempuan, dan beliau kini sedang mengumpul semua maklumat dan bukti.

Lapor Antarapos. (IH)

2 comments:

Anonymous said...

"...mengesahkan pernah menerima aduan berhubung rasuah wang dan wanita ketika berurusan dengan kerajaan Selangor.."

"..bukannya melibatkan wakil rakyat ataupun penjawat awam di Selangor.."

Kerajaan Selangor??? Tapi bukan wakil rakyat?? Bukan juga penjawat awam?? Abis tu siapa Kerajaan Selangor??

Unknown said...

Adakah rafizi gunakan taktik yg sama digunakan oleh LGE ke atas TGHA (iaitu isu babi DAP) iaitu mewar2kan benda yg tidak sahih utk meraih simpati atau sengaja mencipta perspektif buruk kpd kerajaan yg dipimpin azmin..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails