Tuesday, May 24, 2016

PAS Bantah 'Slide The City', Program Maksiat.



BADAN Perhubungan PAS Negeri Pahang (BPPNP) sangat kesal apabila mendapat maklumat bahawa satu program berbentuk riadah ‘Slide The City’ atau luncur air yang diadakan di Indera Mahkota 14 & 15, Kuntan pada 21 dan 22 Mei. 

Program yang mendapat kebenaran pihak kerajaan negeri dan dipromosikan melalui sektor pelancongan itu dilihat bukan hanya menyebabkan kesesakan lalu lintas, terutama kepada penduduk berhampiran. 







Bahkan program tersebut jelas bertentangan dengan adab dan budaya ketimuran masyarakat di negara ini, apabila pihak penganjur meletakkan syarat kepada mereka yang ingin terlibat dalam aktiviti luncur air ini mesti mengenakan pakaian mandi. 

Selain berlaku percampuran lelaki dan wanita dengan bebas. Lebih malang, apabila program ini diadakan di saat umat Islam menyambut Malam Nisfu Sya’ban dan tinggal beberapa hari sahaja lagi menunggu kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak.

BPPNP mengecam tindakan pihak penganjur yang dilihat tidak peka dan tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam. Lebih-lebih lagi apabila mereka menggunakan gambar masjid sebagai ikon untuk program mereka di negeri Pahang sedangkan ianya berunsur maksiat.

BPPNP juga melihat lebih banyak kesan negatif berbanding perkara yang baik daripada aktiviti yang diadakan ini. Selain ianya menjadi bukti bahawa kerajaan negeri ketandusan idea berkualiti dalam menjana ekonomi negeri melalui sektor pelancongan.

BPPNP juga mengharapkan kerajaan negeri mendengar bantahan yang telah disuarakan oleh Sahibus Samahan Dato’ Sri Mufti Pahang melalui surat yang ditujukan kepada YB Pengerusi Pelancongan & Kebudayaan Negeri, yang juga mewakili suara umat Islam di negeri ini.

Justeru, BPPNP mendesak agar program ini dihentikan dan mengharapkan agar pihak kerajaan negeri lebih cermat dalam memberi keizinan kepada mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program di negeri ini pada masa akan datang. Sebaliknya, bukan memikirkan keuntungan material semata-mata.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang

Video: 

Slide the City






Slide the City - YouTube

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails