Wednesday, May 25, 2016

Mengapa Guan Eng Ubah Fikiran Dari Projek Terowong Dasar Laut Ke Jambatan Ketiga?

lim-jambatanPermintaan mengejutkan dari YAB Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semalam – bahawa permohonannya kepada Menteri Kerja Raya untuk pembinaan jambatan ketiga Pulau Pinang untuk diluluskan hanya melalui sepucuk surat tanpa dokumen sokongan – membuktikan beliau hanya ingin berpolitik dan bukannya melakukan permintaan dengan ikhlas.
Sedangkan di Pulau Pinang, permohonan untuk membesarkan rumah, atau menyewa gerai dari kerajaan negeri juga memerlukan dokumen sokongan.
Apatah lagi jika projek ini melibatkan pembinaan infrastruktur dengan anggaran bernilai jutaan ringgit – yang mana sudah pastinya akan memberi implikasi besar terhadap aliran trafik keseluruhan sistem lebuhraya kita, dan juga pelan pembangunan jangka-panjang untuk kawasan yang terlibat.
Tidak ada satu kerajaan pun di dunia ini yang akan meluluskan permohonan projek seperti itu dengan hanya bersandarkan sepucuk surat tanpa dokumen sokongan, kajian yang mendalam, dan juga perbincangan yang khusus.
Pada mulanya YAB Ketua Menteri Pulau Pinang telah menuduh Kerajaan Persekutuan tidak meluluskan permohonan untuk jambatan ketiga, dan itu menjadi alasan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang terpaksa membina sebuah terowong dengan tempoh konsesi tol selama 30 tahun.
Tetapi, apabila Menteri Kerja Raya memberi kenyataan bahawa tiada sebarang permintaan, bahkan sebarang perbincangan dilakukan mengenai perkara ini, YAB Ketua Menteri Pulau Pinang telah menarik balik, dan terus memberi jawapan yang tidak munasabah (incredulous) bahawa tiada permohonan dilakukan kerana mereka tidak cukup berani untuk menjadikannya sebagai sebagai permintaan rasmi.
Pada saya, situasi ini sangat menghairankan – kerana ia membawa maksud kerajaan negeri telah bersetuju untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM2 bilion lagi duit rakyat negeri Pulau Pinang untuk pembinaan sebuah terowong dengan 30 tahun tempoh konsesi tol, berbanding sebuah jambatan, semata-mata YAB Ketua Menteri Pulau Pinang tidak berani untuk membuat permohonan rasmi.
Saya tidak melihat ini sebagai alasan yang munasabah, dan ini sudah semestinya bukan satu contoh tadbir urus yang bagus. Rakyat Pulau Pinang berhak untuk mendapat lebih baik.
Sama ada isu ini mengenai pembinaan jambatan ketiga, atau terowong bertol mahupun tidak bertol, ia sama sekali tidak akan mengalihkan tumpuan kita terhadap persoalan-persoalan utama yang melingkari isu pembinaan terowong kerajaan negeri Pulau Pinang ini, yang sehingga kini pihak mereka masih belum memberi penjelasan yang mencukupi.
Persoalan ini termasuklah:
1. Sama ada jumlah RM305 juta untuk tiga kajian yang dilakukan adalah wajar
2. Bagaimana satu syarikat bertujuan khas (SPV) berkenaan diberikan hak untuk melakukan tiga kajian berkenaan – mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM59.4 juta, pendapatan sebanyak RM51.8 juta, manakala modal berbayar sebanyak RM8 juta – jika model bisnes utama mereka sehingga ke hari ini hanyalah untuk melakukan kajian-kajian berkenaan
3. Sama ada wujud konflik kepentingan apabila hak melakukan kajian kemungkinan itu diberikan pada syarikat berkenaan, yang turut menerima kontrak pembinaan projek itu berjumlah RM6.34 bilion.
4. Bagaimana kerajaan negeri Pulau Pinang memilih untuk menanggung keseluruhan kos projek berkenaan, tetapi turut memberi kebenaran kepada sebuah syarikat swasta untuk mengutip tol selama 30 tahun pada kadar yang sama dengan tol jambatan kedua Pulau Pinang;
5. Sama ada DAP telah beralih dari pendirian manifestonya yang terdahulu dan tidak lagi menentang sebarang pengenaan tol;
6. Bagaimana kerajaan negeri Pulau Pinang sanggup menanggung kos projek yang akan menggunakan tanah premium negeri di tepi pantai – dijangka nilainya akan meningkat secara mendadak – mengambil kira faktor bahawa kos projek ini ditetapkan pada 2012 dan dijangka siap pada tahun 2025. Ini bermaksud nilai sebenar projek berkenaan kepada rakyat negeri Pulau Pinang boleh mencecah RM15 bilion dan mungkin RM20 bilion bila siap pada 2025 – dan ini belum lagi mengambil kira tempoh 30 tahun konsesi tol; dan
7. Mengapa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menjual tanah ini secara berperingkat mengikut kemajuan pembinaan serta mengambil peluang dari peningkatan nilai tanah, sebaliknya membenarkan sebuah syarikat swasta untuk mengambil keuntungan di atas kenaikan nilai tanah itu?
Selepas empat tahun kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP mempertahankan projek terowong bertol berkenaan, dan selepas menghabiskan RM305 juta untuk keseluruhan tiga kajian yang mereka dakwa hampir siap, rakyat berasa terkejut dengan sikap kerajaan negeri Pulau Pinang yang tiba-tiba bersetuju untuk membatalkan projek terowong itu dan digantikan dengan jambatan ketiga.
Saya juga mengambil maklum bahawa YB Lim Hock Seng sudah pun mengesahkan projek terowong itu sudah dibatalkan, dan RM305 juta yang dibayar untuk tiga kajian itu sudah ‘hangus’ dan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak boleh menggantikan semula jumlah yang telah dibayar.
Sekiranya projek berkenaan dijalankan secara telus, dan ia merupakan satu keputusan yang tepat dan teliti, mengapa tiba-tiba mahu membatalkannya?
Adakah kerana kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mampu memberi jawapan kepada soalan yang mudah ini, dan bersedia untuk diteliti, tetapi sebaliknya mengambil keputusan untuk membatalkan projek terowong serta mengalihkan perhatian masyarakat kepada perbincangan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mengenai jambatan ketiga?
Fakta bahawa laporan dari Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) kerajaan negeri Pulau Pinang mengenai projek Terowong Pulau Pinang sudah tertanggung dua kali, sehingga mengakibatkan kemarahan seorang ADUN PKR sewaktu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini mungkin dapat memberi petunjuk terhadap sebab sebenar mengapa keputusan secara tiba-tiba untuk menghentikan projek ini dilakukan.
Dato’ Abdul Rahman Dahlan,
Pengarah Strategik Komunikasi BN

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails