Monday, July 21, 2014

Ziana Zain Akui Lebih Tenang Selepas Sebulan Berhijrah.



HALAMAN HIBURAN

SUDAH lama niat di hatinya untuk berhijab, namun pada tahun ini impian tersebut menjadi kenyataan. Mengakui lebih tenang selepas mengenakan hijab, figura ini meluahkan rasa kesediaannya dan menolak berhijab disebabkan paksaan oleh mana-mana pihak. Lapor Kosmo hari ini.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai perubahannya itu, figura yang telah menapak dalam industri seni sejak 22 tahun lalu itu meluahkan perubahannya disebabkan oleh keinginannya sendiri.

"Saya rasa kini saya telah bersedia untuk berhijab. Seakan-akan magis, saya tidak pernah berasa tertekan, malah bagaikan tidak sempurna apabila tidak mengenakan hijab ketika keluar dari rumah.
"Walaupun baru sebulan berhijrah, saya kini lebih berasa lebih tenang dan dihormati. Malah, terbit satu perasaan yang tidak digambarkan dengan kata-kata apabila peminat meluahkan perasaan bahawa doa mereka untuk melihat saya berhijab termakbul," kata Ziana Zain ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Safi Rania Diamond di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditebak dengan soalan sebab dia mengambil masa lama untuk mengenakan hijab, penyanyi yang terkenal dengan lagu Madah Berhelah itu berkata, dia tidak mahu hiporkrit dan memakai hijab untuk tujuan tertentu.

"Jika diimbas kembali keinginan untuk mengenakan hijab, saya rasa sudah mula terdetik di hati saya lima tahun lepas untuk mengenakan hijab, namun saya tidak mahu melakukannya tanpa keikhlasan saya sendiri.
"Saya tidak mahu perubahan ini menjadi sesuatu yang sia-sia kerana saya mahu melakukan sesuatu perubahan dengan bersungguh-sungguh," ujarnya yang mengakui anaknya Adam merupakan insan yang paling gembira apabila dia mengambil keputusan tersebut.

Dikenali sebagai seorang ikon fesyen, Ziana tidak pernah menyekat keinginannya untuk bergaya disebabkan kekangan bertudung. Baginya seorang aktres itu menjadi contoh kepada peminat-peminatnya.

"Walaupun masih baru berhijab, saya banyak membuat kajian mengenai trend-trend terkini bertudung dan saya tidak suka seorang aktres itu kelihatan kurang menyerlah walaupun bertudung. Selain itu, penggayaan mestilah sesuai mengikut peredaran semasa kerana saya tidak risau kerana tudung menjadi salah satu fesyen terkini zaman sekarang," ujarnya.
"Saya masih Ziana Zain yang dahulu. Cuma saya kini tampil dengan pemakaian yang sopan. Selepas ini, saya perlu juga lihat kesesuaian tempat persembahan atau acara agar ia bersesuaian dengan imej saya."

Tambah Ziana, dia tidak pernah khuatir sekiranya berhijab akan menyebabkan pintu rezekinya tertutup. Baginya rezeki merupakan hak Allah untuk menentukan segalanya.

"Saya berserah kepada Allah, jika rezeki saya telah ditetapkan. saya reda dengan ketentuannya. Saya tidak pernah terfikir jika berhijab akan menyebabkan rezeki saya terhalang," jelasnya. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails