Wednesday, July 23, 2014

Khalid Perlu Undur Jika Hilang Sokongan -Penganalisis



Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah dinamakan sebagai pengganti Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Gambar fail The Malaysian Insider. Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah dinamakan sebagai pengganti Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Gambar fail The Malaysian Insider.Tiada cara lain untuk Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan jawatan menteri besar Selangor jika tidak lagi disokong Pakatan Rakyat (PR) negeri itu, sama ada beliau berundur secara terhormat atau disingkir partinya sendiri.
Penganalisis berpendapat, pelantikan sebagai menteri besar Selangor hasil persetujuan tiga parti, tetapi apabila salah satu parti tidak menyokong, beliau terpaksa berundur.

"Khalid perlu ingat beliau dilantik sebagai menteri besar atas sokongan tiga parti.
"Apabila parti tidak lagi menyokong beliau perlu berundur," kata Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider.

Ibrahim berkata, nasib Khalid pada ketika ini bergantung kepada parti lain dan bukan lagi partinya sendiri kerana beliau sudah ditolak secara terang-terangan.

"Sekarang ini bergantung kepada PAS untuk membuat keputusan bersama Khalid atau memilih (Datuk Seri Dr) Wan Azizah Wan smail," katanya.

Kemelut menteri besar Selangor kini hampir ke penghujungnya selepas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengumumkan isterinya itu sebagai pengganti Khalid.
Anwar berkata, beliau akan menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

Setiausaha DAP Selangor Lau Weng San mengakui isu menteri besar Selangor yang  berlarutan sehingga hari ini memberikan kesan negatif kepada sokongan PR di negeri terkaya di Malaysia itu.

"Isu ini sudah berlanjutan sejak Januari dan perlu diselesaikan segera
“Saya cuba lihat dengan positif dan berfikir kita memilih calon yang terbaik," kata Lau kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Selangor Zaidy Abdul Talib berkata keputusan akhir mengenai nasib Khalid bergantung kepada kepimpinan pusat.

"Kami PAS negeri ikut keputusan pusat. Apa keputusan pusat, kami akan patuh," kata Zaidy.

Khalid dalam satu kenyataan balas semalam terhadap pengumuman Anwar bertegas akan mengekalkan jawatan sehingga perlucutan dibuat mengikut proses. Sementara itu, Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan juga senada apabila berkata Khalid perlu berundur jika tidak lagi mendapat sokongan.

"Bagi Khalid, sebagai menteri besar dilantik parti beliau kena menerima dan patut berundur secara hormat, sebagai 'gentlemen' apabila partinya sendiri hendak tukar dia," kata Wan Saiful.

Wan Saiful berkata, imej Khalid sebagai menteri besar yang bersih dan berkredibiliti menjadi pertaruhan jika tidak menuruti kehendak parti.

"Memalukan jika undi tidak percaya dibawa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggugurkan beliau sebagai menteri besar," kata Wan Saiful.

Jika Khalid masih berdegil, kemungkinan besar DUN dibubar tetapi Wan Saiful tidak melihat keperluan untuk pergi sejauh itu.

"Namun pembubaran DUN bergantung kepada nasihat menteri besar kepada sultan.
"Saya tidak nampak sebab untuk Khalid perlu berkeras," katanya.

Wan Saiful juga mempersoalkan sama ada Khalid sanggup melihat PR kalah di Selangor dan beliau menjadi puncanya.

"Jika berlaku pembubaran DUN, adakah Khalid bersedia untuk menjadi sebahagian sejarah punca kepada kekalahan Pakatan di Selangor?" katanya.

Jika DUN dibubar, Lau yang juga Ahli Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku menyuarakan kebimbangan akan kesan buruk kepada PR serta tidak melihat keperluan untuk Khalid bertindak sedemikian.

"Mengenai isu pembubaran DUN, ia juga isu keputusan secara kolektif. Menteri besar tidak boleh membubarkan DUN tanpa mendapatkan perkenan Sultan.
"Tapi kalau berlaku pembubaran atau pilihan raya negeri, ia bukan suatu yang baik dan keputusan yang dialu-alukan rakyat Selangor," katanya.

Mengenai pencalonan Wan Azizah sebagai pengganti Khalid, Wan Saiful mempersoalkan peranan yang mampu dimainkannya tanpa dibayangi suaminya, Anwar.

"Pelantikan Wan Azizah akan ada konflik. Dia tidak akan berupaya menjadi menteri besar yang bebas tanpa dibayangi Anwar.
“Wan Azizah perlu memilih untuk menjadi menteri besar yang bebas atau isteri yang taat," katanya.
Wan Saiful berkata, PR tidak lagi mempunyai kuasa moral untuk mempersoalkan isu kronisme dan nepotisme kerana pencalonan Wan Azizah juga mempunyai unsur tersebut.

"Keduanya, Pakatan selalu cerita pasal kronisme dan nepotisme, soal moral untuk mereka bercakap soal itu kini tiada lagi," katanya.

Isu menteri besar Selangor panas sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan tidak selesai sehingga kini. Daripada isu kalimah Allah, isu Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), kontroversi Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan pertembungan politik dalaman PKR mengganggu pentadbiran negeri terkaya itu.

Khalid kehilangan sokongan daripada partinya sendiri selepas dilantik menteri besar untuk penggal kedua. Isu menteri besar Selangor juga dikatakan menjadi salah satu punca populariti PR jatuh merudum di Selangor setahun selepas PRU13.

Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) setahun selepas PRU13 mendapati sokongan kepada PR jatuh kepada 35% berbanding 50% enam bulan sebelum pilihan raya. – 23 Julai, 2014. (TMI)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-89: Anwar-Khalid -Gelombang Kopi Dalam Cawan?

E-Buku IH-89: Anwar-Khalid -Gelombang Kopi Dalam Cawan?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails