Monday, July 21, 2014

Mengapa K'tan Bimbang Kotak Hitam MH17?

Kotak Hitam pesawat MH17 yang ditembak jatuh telah dijumpai, kotak hitam tersebut kini berada bersama askar pemberontak pro-Russia. 


KOTA BHARU: Kelantan menuntut kerajaan Malaysia membawa ke muka pengadilan pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah yang membabitkan pesawat Penerbangan Malaysia MH17. Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, pada masa yang sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti bertanggungjawab untuk mencari dalang sebenar disebalik insiden itu.

“Kita mencadangkan  sebuah badan bebas penyiasat bebas diadakan segera untuk menyiasat kejadian itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengunjungi datuk salah seorang mangsa allahyarham Ahmad Hakimi Hanapi, iaitu Daud Abd Kadir di Melor, dekat sini petang semalam. Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk bertanya khabar tentang insiden itu.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan jenayah kejam menembak pesawat MH17 kerana ia bertentangan dengan agama dan undang undang kemanusiaan,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau berkata, kotak hitam mesti diserah kepada kerajaan Malaysia kerana pesawat itu adalah milik kerajaan ini.

“Kotak hitam tidak boleh diambil oleh mana-mana negara kerana ia bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
“Kita bimbang jika kotak hitam dikuasai oleh pihak lain, segala bukti akan dilenyapkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua keluarga mangsa bersabar menghadapi ujian yang amat pahit itu. Sementara itu, Daud berharap jenazah cucunya yang juga pembantu juruterbang berkenaan dapat dibawa pulang serta diuruskannya di sini.

Beliau juga  memberitahu, arwah cucunya pernah melahirkan rasa syukur kerana tragedi yang menimpa MH370 tidak berlaku pada pesawat yang beliau naiki.

"Tapi itulah kehendak Allah, kita tidak boleh mengelaknya. Cuma kami berharap ianya dapat ditangani dengan baik oleh semua pihak," ujarnya. - HARAKAHDAILY 21/7/2014

1 comment:

Tom Mudim said...

Inilah masanya PM Najib kena guna dan ambil peluang hubungan yang dikatakan amat baik dengan Obama bagi mendesak puak yang bertanggungjawab.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails