Monday, August 06, 2012

Tukar Solat Jumaat Pada Sabtu, L/Kurang M'sia?




(Dr Abdul Basit menerima cenderahati daripada Menteri Besar)

KOTA BHARU: Ulama di sini turut melahirkan rasa bimbang perkembangan di Republik Azarbaijan apabila kerajaan dikatakan mengarah khatib di seluruh negara itu melaksanakan solat Jumaat pada hari Sabtu. Penasihat Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Dr Abdul Basit Abdul Rahman berkata, perkembangan yang berlaku di negara yang majoriti umat Islam itu cukup membimbangkan.

“Apakah tuan-tuan tahu perkembangan terbaru yang berlaku sekarang. Mungkin ada kalangan kita yang membaca suratkhabar mengenai isu tersebut.

“Di negara kita pun tidak jauh bezanya kerana hari Jumaat tidak dijadikan cuti umum bagi kebanyakan negeri.

Sepatutnya kita kena tukar menjadikan hari Jumaat sebagai cuti mingguan bagi memudahkan orang ramai melakukan amalan agama,” katanya pada Ijtimak Ulama Nusantara di Qaryah Ramadan di sini, hari ini.

Program itu bermula malam tadi dengan tausiah pertama disampaikan ahli jawatankuasa Majlis Agama Islam Patani, Wan Mahmood Wan Hussin selepas solat tarawih.

Ijtimak itu disertai ulama pondok dari seluruh Malaysia termasuk juga dari selatan Thailand dan Kalimantan, Indonesia. Akhbar sebelum ini melaporkan Jawatankuasa Kebangsaan Bahagian Urusan Agama Azarbaijan mengeluar arahan supaya melaksanakan solat Jumaat pada hari Sabtu.

Alasan diberi kerana dianggap mengganggu jam kerja memandangkan hari Jumaat di Azarbaijan hari bekerja. Menurut pemerintah Azarbaijan, pemindahan solat Jumaat ke hari Sabtu diharapkan dapat mengurangkan beban para pegawai dan pekerja pemerintah. Isu lebih parah pula berlaku di  Uighur di Urumqi, Xinjiang, barat laut China di mana masyarakat Islam diharam menunaikan ibadah puasa, bersolat tarawih atau menjalankan sebarang aktiviti keagamaan.

Pada ijtimak tersebut Dr Abdul Basit membentang kertas kerja bertajuk Peranan Ulama Dalam Amar Makruf Nahi Mungkar. Kertas kerja itu diulas Mudir Darul Hadis Alor Setar, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Ramli.

Ijtimak tersebut turut disertai pelajar-pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, guru-guru Yayasan Islam Kelantan dan pelajar-pelajar pondok. Ia diadakan di Qaryah Ramadan. Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kertas kerja kedua dibentang Pimpinan Pondok Pesantren Darul Ihsan Samarinda, Kalimantan Timur, H Fakhruddin Wahad, kemudian diulas Ustaz Zulkfli Ismail dari Melaka. Fakharuddin berkata, pondok pesantren merupakan institusi pendidikan pertama dan tertua di Indonesia.

“Pesantren dikenali di Indonesia sejak zaman Walisongo. Ketika itu Sunan Ampel mendirikan rumah yang mengandungi bilik-bilik kecil dan menjadikan sebagai pusat pendidikan di Jawa,” katanya.

Beliau juga berkata, banyak pengalaman mengenai pembangunan institusi pondok di Kelantan yang boleh dipelajari untuk dipraktikkan di Indonesia. Ustaz Zulkifli menegaskan kekuatan yang ada pada institusi pondok kerana pengasasnya merupakan ulama yang jujur dan istiqomah dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

Katanya, pondok bukan menempatkan orang yang mempunyai kebijaksanaan, namun sistem pendidikan menekan aspek adat dan disiplin sehingga mampu melahirkan manusia yang lemah menjadi ulama besar. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails