Monday, August 06, 2012

48 Militia Iran Diculik Pemberontak Syria

IMEJ daripada YouTube semalam menunjukkan sejumlah warga Iran (barisan belakang) yang ditangkap anggota-anggota Tentera Pembebasan Syria di Damsyik.

Pemberontak Syria mengaku culik
DUBAI - Para pemberontak Syria semalam menyiarkan video yang menunjukkan 48 militia dari Iran yang diculik mereka di Damsyik. Kelmarin, Konsulat Iran di Damsyik menyatakan seramai 47 warganya diculik dari sebuah bas di Damsyik semasa mereka menuju ke sebuah lapangan terbang.

Menurut kumpulan pemberontak, Briged Al-Baraa daripada Tentera Pembebasan Syria (FSA), sebahagian militia itu merupakan anggota Pengawal Revolusi yang merupakan unit tentera elit negara mereka. Seorang anggota FSA dalam video tersebut berkata, kumpulan warga Iran tersebut melakukan misi peninjauan di Damsyik.

"Kami mendapati sebahagian mereka merupakan pegawai pasukan Pengawal Revolusi (Iran)," katanya yang menunjukkan dokumen yang telah dirampas.

Menurut pegawai tersebut, pihaknya memberi amaran bahawa semua kemudahan Iran di Syria dan pekerjanya akan menerima nasib yang sama atau kemungkinan dibunuh. "Tuhan Maha Besar," kata lelaki tersebut sebelum dia menamatkan kenyataannya.

Stesen televisyen Al-Arabiya menyiarkan temu ramah dengan lelaki tersebut yang dikenali sebagai Komander Abdel Nasser Shmeir. Menurutnya, salah seorang yang ditahan itu ialah penterjemah Afghanistan.
Bagaimanapun, satu sumber sebuah lagi kumpulan pembangkang, Jundallah menganggap video tersebut sebenarnya palsu. Menurut sumber berkenaan, video itu dihasilkan bagi menjadikan Iran yang berfahaman Syiah sebagai sasaran.

Sebelum ini Iran menafikan bahawa unit tenteranya telah dihantar ke Syria. Menteri Pertahanan Iran, Ahmad Vahidi kelmarin menyatakan, pasukan tentera negaranya tidak ada di Syria. Menurutnya, pentadbiran Iran tidak membuat sebarang permintaan untuk mendapatkan khidmat pasukan tentera Syria. Pergolakan di Syria bermula sejak Mac tahun lalu apabila penduduk bangkit menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad.

Lebih 19,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan pemberontak yang menentang kepimpinan Bashar. Kepimpinan Bashar dianggap gagal membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan demokrasi oleh kumpulan pemberontak. Syria sebelum ini menuduh Turki, Qatar dan Arab Saudi menyokong kumpulan pemberontak dan meningkatkan keganasan di negara ini.

Iran pernah menyatakan sokongannya terhadap usaha Bashar untuk menamatkan kebangkitan penduduk di negaranya. Dalam perkembangan yang berkaitan, tentera Syria melancarkan serangan bom di daerah Salaheddin semalam. Pertempuran turut berlaku di daerah Sukkari, Hamdaniyeh dan Ansari di utara Syria sejak 20 Julai lalu.

Menurut pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi, 13 orang terbunuh di Syria semalam. - Agensi

Kmen Weblog Ibnu Hasyim:  Bertambah jelas lagi, Iran menyokong kezaliman di Syria.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails