Sunday, August 05, 2012

Royalti: J/K Khas, Jambatan BN Seberang.. -Husam


SHAH ALAM: Datuk Husam Musa Exco kerajaan negeri Kelantan,berharap BN tidak menggunakan Jawatankuasa Khas Royalti sebagai sebuah 'jambatan' untuk menyeberangi pilihanraya ini dengan selamat. .Sebelum itu, Kelantan akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti, kata beliau.

"Kita tak akan tarik balik saman terhadap Petronas dan prosidingnya akan didengar Oktober ini," katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau mengulas surat yang dihantar Perdana Menteri kepada Menteri Besar Kelantan bagi memintanya menamakan wakil kerajaan negeri dalam jawatankuasa pembayaran khas pembayaran royalti/bayaran tunai kepada Kelantan. Jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tun Abdul Hamid Mohamad.

Sementara itu ketika berucap dalam majlis malam tadi, Husam berkata, penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran tunai ini disifatkan beliau sebagai masih 'menganaktirikan rakyat Kelantan'. Husam mempersoal tujuan jawatankuasa tersebut sedangkan Terengganu sudah dibayar dengan bayaran tunai walaupun pengeluaran petroleum di Terengganu juga berada di luar kawasan 3 batu nautikal.

"Kenapa tuntutan Kelantan tidak mengguna pakai penyelesaian dengan Terengganu sahaja?

"Kenapa dalam kes Kelantan perlu jawatankuasa khas? Ini jelas masih menganaktirikan rakyat Kelantan," kata beliau di Majlis Pelancaran Tabung Amanah Lebuhraya Rakyat KBKK & berbuka puasa bersama Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Azizi Nik Mat di Kompleks Karangkraf Sek 15, dekat sini malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kerajaan Negeri Kelantan itu juga turut mempersoal tempoh jawatankuasa tersebut bersidang yang disifatkan sebagai terlalu lama. Katanya, pilihan raya umum mungkin akan diadakan dalam masa terdekat dan keputusan daripada jawatankuasa tersebut menimbulkan seribu kemungkinan.

"Pilihan raya dalam tempoh terdekat ini dan keputusan jawatankuasa sudah tentu selepas pilihan raya. Adakah royalti akan tetap dibayar selepas pilihan raya?" soalnya.

Justeru, beliau khuatir jawatankuasa tersebut hanya gimik politik menjelang pilihan raya.

"Adakah penubuhan Jawatankuasa ini hanya sebuah langkah politik menjelang pilihan raya untuk meredakan perasaan rakyat Kelantan?

"Harapnya BN tidak menggunakannya sebagai sebuah 'jambatan' untuk menyeberangi pilihanraya ini dengan selamat," katanya. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails