Saturday, August 11, 2012

Jihad Seorang Muslim Di Era Globalisasi

By Tariq Ramadan
 
KULIAH URA (UNIVERSITI RAMADHAN AL-MUBARAK)

MENJADI seorang Muslim seakan-akan sudah sinonim dengan menjadi seseorang yang diajukan pelbagai soalan pedas, sentiasa dalam situasi tegang, ketidakpercayaan, dan juga konflik.

Perkara ini telah menjadi satu fenomena global yang meninggalkan kesan yang mendalam kepada hubungan antara komuniti, termasuklah retorik politik dan polisi di peringkat negara, rantau dan juga antarabangsa.

Hari-hari kita tidak akan berlalu tanpa ‘isu berkaitan Muslim’ menjadi perhatian, sama ada melalui kontroversi di peringkat lokal, konflik serantau, atau debat nasional, juga melalui keganasan, ekstremisme atau literalisme, atau mungkin juga melalui kebangkitan parti-parti politik Islam di Tunisia, Maghribi dan Mesir (yang bertahun lamanya selepas kemenangan pilihanraya di Palestin).

Islam, tanpa mengira fahaman ekstremisme, literalisme atau pun politik, telah menjadi satu isu; maklumat yang tersebar luas di era globalisasi mencipta satu kelompok pemikiran sedunia yang penuh dengan kecurigaan, ketidakpercayaan dan mungkin juga stigma, sambil mencetuskan reaksi defensif dari Muslim yang berlegar dari perasaan menjadi mangsa hinggalah kepada keagresifan yang tidak terkawal.

Pendek kata, sekarang adalah masa yang amat sukar untuk menjadi seorang Muslim, yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran, sama ada di peringkat lokal mahupun global. Kekeliruan telah tersebar dengan meluas. Semuanya dilihat seperti berkait rapat, segala kucar-kacir telah dicampuradukkan di dalam arus liputan media yang amat mustahil untuk dianalisa dan ditafsirkan.

FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) akhirnya menerima pemakaian tudung, tetapi Perancis masih tetap menolak idea tersebut. Demonstrasi jalanan terhadap undang-undang Syari’ah berlaku di London, protes terhadap aplikasi undang-undang Syari’ah pula berlaku di US. Empat ahli majlis perbandaran Perancis dipecat, dan kemudian dilantik kembali, hanya kerana mereka berpuasa di bulan Ramadhan.


Di Belanda, Muslim berhadapan dengan fitnah yang nyata. Semuanya diperbesarkan melalui liputan media masa nyata dan juga internet, sama halnya dengan kebangkitan politik Islam dan kebangkitan Arab, perang saudara yang mengganas di Syria, persoalan Israel dan Palestin, ketegangan antara Syi’ah dan Ahlus Sunnah, insiden meruntuhkan makam di utara Mali oleh golongan Salafi literalis, dan juga kebangkitan suara-suara yang mendesak aplikasi undang-undang Syari’ah yang lebih ketat di Pakistan, Malaysia dan sesetengah negara monarki.

Media juga tidak terlepas pandang isu penindasan terhadap Muslim di China, dan sekarang, di Myanmar, dan juga ketegangan antara agama di merata tempat di negara-negara Afrika dan Asia.

Situasi yang melanda masyarakat sedunia ini membuatkan isu berkaitan Islam ini timbul di serata tempat: ia muncul dalam persoalan utama kewujudan agama-agama, juga dalam hubungan ketamadunan, dalam isu sekularisasi, dalam pemilihan ideologi dan model bagi struktur negara, dalam hubungan antara budaya dan globalisasi, dalam isu masyarkat bertamadun dan masa hadapannya, dan dalam isu status wanita dan rakyat.

Kita tidak dapat mengelak dari berhadapan dengan isu berkaitan Islam: setiap manusia yang bertanggungjawab kini berhadapan dengan persoalan-persoalan berkaitan Islam dan mereka tentunya akan menilai fakta-fakta yang ada, membuat kesimpulan dan seterusnya mengambil pendirian berkenaan persoalan-persoalan tersebut.

Pelobi-pelobi yang berkuasa dan pihak yang berkepentingan memperloleh kelebihan yang banyak dengan mengekalkan tekanan ideologi dan media yang sedia ada, dengan niat yang jelas untuk menukarkan Islam kepada ancaman dan Muslim kepada entiti yang tidak jelas dan berbahaya.

Cubalah imbas kembali kata-kata David Yerushalmi (pengasas kempen anti-Syari’ah di US) “Walaupun cubaan untuk meluluskan penggubalan undang-undang anti-Syari’ah gagal, perkara yang lebih penting adalah untuk menimbulkan desas-desus berkenaan perkara ini, seterusnya menuai hasil kontroversi dan meyakinkan rakyat kebanyakan bahawa Islam adalah ancaman kepada mereka.”

Kegagalan teruk kempen anti-Islam mungkin dilihat sebagai kejayaan besar disebabkan hebohan yang ia cipta. Logik yang sama digunapakai oleh populis di banyak negara; media yang beroperasi dengan sistem yang sama digunakan dalam membuat liputan di negara yang majoritinya Muslim.

Kebanyakan media Barat mengunci mulut mereka serapat-rapatnya berkenaan pemerintahan diktator Zine Al Abidine bin Ali ataupun Hosni Mubarak, dan ini dengan cepatnya memberi sokongan kepada penggunaan sistem demokrasi yang mula mengambil tempat melalui sensitiviti terhadap isu wanita, homoseksual dan minoriti agama dalam rejim penggantinya.

Isu tentang diktator inilah sebenarnya antara yang isu yang tidak pernah dibincangkan, dan ia hanya dibisikkan sesama sekutu sendiri di Teluk. Dan sebenarnya, liputan media yang mempunyai ideologi tersendiri dan pengubahan maklumat adalah antara isu yang makin disedari rakyat.

Apa yang saya cuba sampaikan bukanlah satu ‘konspirasi global’ terhadap Islam dan terhadap Muslim, seperti sesetengah dari kita bayangkan. Sudah pasti, golongan yang berkepentingan menyebarkan ideologi tersendiri sudah tentunya wujud; tetapi ia adalah sama pasti bahawa mesin media dan reaksi politik yang diprovokasinya telah membentuk satu kitaran yang ganas.

Kontroversi memarakkan sifat ingin tahu masyarakat awam, yang kemudiannya membekalkan strategi kepada pihak populis, yang akhirnya akan memacu strategi pilihanraya jangka pendek: media kemudiannya akan meneruskan rentak tarian mereka di hadapan kumpulan yang akan terus setia menontonnya.

Dalam era berteknologi tinggi ini, dengan sistem pemprosesan maklumat yang pantas dan persaingan global, Islam sebenarnya sangat bertuah. Tidak syak lagi: Islam membuat keuntungan, keuntungan yang sangat banyak. Terperangkap antara idea manipulasi dan logik para kapitalis, Islam – dan besertanya nasib Muslim – akan mendapati diri mereka sebenarnya dalam dinamik yang negatif, bukannya tertindas.

Bagaimana kita mahu membebaskan diri kita dari dinamik yang negatif ini? Bagaimana, yang lebih penting, untuk kita keluar dari pemikiran seorang mangsa, yang melanda kita setiap kali media dan tsunami politik menukar Islam kepada sebuah ancaman global, yang akan memusnahkan semua perkara yang berada dalam laluannya?

Paradoksnya, di waktu Islam dalam dinamik yang sangat negatif, keadaan sukar ini sebenarnya mengandungi banyak elemen yang diperlukan untuk mengatasi dan melangkah lebih jauh dari masalah tersebut. Bila orang ramai bertanya tentang Islam dan Muslim – selalunya dalam keadaan tidak tahu, Muslim sebenarnya dihadiahkan peluang yang terbaik untuk menjelaskan, mendidik, dan berdialog dengan mereka.

Jika ketaranya mereka terhadap pandangan sedunia dilihat sebagai satu masalah kerana kod pakaian, nama dan warna kulit, maka penyelesaian untuk masalah ini tidak kurang ketaranya. Era moden telah memanggil Muslim untuk berjuang dalam skop jihad yang global, yakni dalam ilmu pengetahuan, dalam pendidikan, dalam dialog, dalam komunikasi dan dalam ketahanan diri.

Ia adalah jihad yang tenang, yang mendamaikan, yang tidak ganas; bagi mereka yang telah mengucap dua kalimah syahadah. Titik permulaan kita adalah kefahaman tentang diri sendiri, dan kritikan terhadap diri sendiri yang dapat menjauhkan kita dari penipuan fahaman yang ekstrem dan pencambukan terhadap diri sendiri.

Hati nurani seorang Muslim mestliah bangkit, ia mestilah dapat membezakan apa yang Islam dan apa yang tidak (dengan mengambil kira isu kepelbagaian dan pluralism), dan untuk mengecam hipokrasi dalam kedua-dua aspek kendiri ataupun ideologi populis.

Hati nurani yang terbuka akan mampu menerima persoalan-persoalan yang munasabah dari majoriti yang mencari kefahaman, dan hati nurani yang berani akan mampu menghadapi isu perkauman minoriti yang menipu, mendustakan dan memanipulasikan.

Komitmen kita mestilah bersifat individu, tempatan, nasional dan sedunia. Dinamik hari ini yang membuatkan Islam menjadi satu masalah juga telah menukarkan Islam kepada pelbagai persoalan: dan kini ia adalah tanggungjawab keseluruhan umat Islam leaki dan perempuan untuk mara ke hadapan dengan jawapan-jawapan yang menyakinkan.

* Ihsan: Gulf News. Tariq Ramadan adalah ahli akademik Switzerland dan profesor dalam bidang Pengajian Islam Kontemporari di Universiti Oxford. Dia juga mengetuai Pusat Penyelidikan Penggubalan Undang-Undang Islam dan Etika yang berpusat di Qatar.
(IH)

Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-58: 'Universiti Ramadzan' Al-Mubarak.
E-Buku IH-58: 'Universiti Ramadzan' Al-Mubarak.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails