Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad

SHAH ALAM - BN kalah dalam pilihan raya akan datang? Di sebalik spekulasi bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dipanggil dalam waktu terdekat, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kekurangan besar yang sedang dilalui Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri ialah beliau mewarisi sebuah kerajaan yang lemah.

"Masalah di sini bukan Najib... beliau pemimpin sebuah kerajaan yang lemah," kata Dr Mahathir yang menyandang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum bersara pada Oktober 2003.

Bercakap kepada Bloomberg, Dr Mahathir berkata, sebarang bentuk berpaling tadah akan menyebabkan "BN kalah dalam pilihan raya akan datang."

BN, perikatan 13 parti memerintah Kerajaan Pusat sejak negara merdeka. Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 31 Ogos ini. Ia akan disusuli dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September.
Hasil kajian Merdeka Center diumumkan bulan lalu menyebut bahawa Najib, Perdana Menteri yang keenam, masih menikmati paras populariti 'stabil' yang positif.

Bulan lalu, dua ahli Parlimen BN dari Sabah mengisytiharkan tindakan memutuskan 'hubungan dengan parti masing-masing. Empat tahun lalu parti komponen BN di Sabah, Sapp telah keluar daripada perikatan tersebut. Najib mengambil alih jawatan perdana menteri pada April 2009 - setahun selepas PRU12, yang menyaksikan BN hilang majoriit dua pertiga di Parlimen selain kehilangan kuasa kerajaan di empat lagi negeri.

Dalam temu bual itu, Dr Mahathir berkata, rakan Umno dalam BN iaitu MCA, Gerakan dan MIC telah berhadapan dengan masalah kepimpinan sehingga menyebabkan perikatan itu lemah. Pun begitu menurut beliau, kedudukan BN lebih baik berbanding 2008.

"Najib lebih popular sekarang," kata Dr Mahathir, yang juga bekas Presiden Umno.

"Sebelum ini, rakyat bukan menentang BN, tetapi mereka marah dengan perdana menteri sebelum ini, keluarganya dan menantunya," kata beliau dengan merujuk kepada penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi. (IH/SH)