Wednesday, August 08, 2012

Buru Laiatul Qadar, Ini Yang Kita Jumpa..PRU 13!

CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

BILA tiba saja bulan Ramadhan atau memasuki Universiti Ramadhan Al-Mubarak, umat Islam pasti akan menyebut-nyebut malam Lailatul Qadar. Di mana kita di suruh memburu Malam Lailatul Qadar. Dijadikan seperti pesta berburu besar-besaran. Berburu dengan ibadat, moga-moga bertemu dengan Lailatul Qadar. 

Bukan seperti berburu pingat emas di sukan Olimpik di London juga dalam Ramadhan ini. Memburu itu bagai memburu babi untuk sumber rezeki malam Ramadhan. Perbincangan yang paling banyak  mengenai Lailatul Qadar ialah tentang bilakah malam lailatul qadar. 

Ini kerana semua sudah maklum tentang kelebihannya dan kewujudannya, namun tiada siapa yang tahu dengan tepat tentang bilakah malamnya. Itu sebab disebut berburu. Kalau dah tahu malamnya, itu bukan berburu lagi.

Dinamakan sebagai Lailatul Qadar kerana al-Qadr bererti “nilai”. Ini kerana malam tersebut adalah malam yang sangat bernilai kerana padanya diturunkan al-Qur’an. Padanya, turunnya para Malaikat, turunnya rahmat, keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT. Atau dinamakan juga sebagai malam yang bernilai kerana orang yang menghidupkannya dengan ibadah adalah orang yang mempunyai nilai di sisi Allah SWT dengan bertambah pahalanya dan darjatnya. 

Atau dinamakan juga sebagai lailatul qadar, dengan al-Qadr bererti sempit. Ini kerana ilmu tentang bilakah malam tersebut telah dipersempitkan sehingga tidak diketahui bilakah malamnya secara pasti. Atau juga kerana dunia yang luas ini menjadi sempit pada malam tersebut kerana dipenuhi dengan para malaikat yang begitu ramai turun padanya. 

Atau dinamakan lailatul qadar dengan al-Qadar (huruf Dal berbaris fathah) bererti ketentuan. Ini kerana pada malam tersebut para Malaikat menulis ketentuan-ketentuan takdir, rezeki, ajal dan sebagainya untuk tahun tersebut. Di mana, para Malaikat akan mengetahui apa yang akan berlaku, supaya mereka boleh laksanakan perintah yang dititahkan oleh Allah SWT.
Terdapat banyak hadis yang membincangkan tentang malam lailatul qadar. Dan antara hadis yang boleh dijadikan panduan dalam mencari malam lailatul qadar ialah:

Hadis pertama:
  • عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ وَيَقُولُ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ  
  • Ertinya: Aisyah r.a. menyatakan: “Rasulullah s.a.w. beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir pada bulan ramadhan, dan baginda bersabda: “Carilah lailatul qadar pada sepuluh (malam) yang terakhir daripada bulan ramadhan”. Hadis riwayat Bukhari.

Hadis kedua:
  • عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
  • Aisyah r.a. menyatakan: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Carilah lailatul qadar pada (malam) yang ganjil daripada sepuluh (malam) yang terakhir daripada bulan ramadhan”. Hadis riwayat Bukhari.

Hadis ketiga:
  • عن ابْن عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ يَعْنِي لَيْلَةَ الْقَدْرِ فَإِنْ ضَعُفَ أَحَدُكُمْ أَوْ عَجَزَ فَلَا يُغْلَبَنَّ عَلَى السَّبْعِ الْبَوَاقِي
  • Ertinya: Ibn Umar r.a. meriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda: “Carilah lailatul qadar pada sepuluh (malam) yang terakhir. Dan jika kamu lemah, maka janganlah lagi lemah (dalam mencarinya) pada tujuh (malam) yang masih berbaki”. Hadis riwayat Ahmad dan Muslim.
Kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan hadis-hadis tadi ialah lailatul qadar itu berada pada sepuluh malam yang terakhir pada bulan Ramadhan. Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

(Hadis keempat)
  • هِيَ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ
  • Ertinya: “Ia (lailatul qadar) adalah pada sepuluh yang akhir”. Hadis riwayat Bukhari.
Bahkan Imam Abdul Razzaq telah meriwayatkan dalam kitabnya al-Musonnaf, bahawa Saidina Umar pernah memanggil para sahabat untuk membincangkan bilakah malam lailatul qadar, dan akhirnya mereka sepakat bahawa ia adalah pada sepuluh malam yang terakhir.
Namun tidak diketahui pada malam manakah daripada malam yang sepuluh itu. Kerana inilah Qadhi I’yadh menyatakan, tidak ada satu malam pun daripada sepuluh malam yang terakhir melainkan ada pendapat ulamak yang memilihnya sebagai lailatul qadar. Rujuk Fathul Bari, juz 4, m/s 333.
Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya Fathul Bari, Syarah Sohih Bukhari telah menaqalkan lebih daripada empat puluh enam pendapat tentang bilakah lailatul qadar. Dan kesimpulan yang beliau nyatakan ialah:
  • “…Dan yang paling rajih (tepat) ialah lailatul qadar itu pada (malam-malam yang) ganjil pada sepuluh malam yang terkahir. Dan ia pula berpindah-pindah sebagaimana yang difahami daripada hadis-hadis dalam bab ini. Dan yang paling diharapkan ialah pada malam-malam ganjil pada sepuluh yang terakhir ini, dan yang paling diharapkan antara malam-malam ganjil tersebut di sisi para ulamak mazhab Syafie ialah malam dua puluh satu atau malam dua puluh tiga sebagaimana hadis Abu Said al-Khudri (mlm 21) dan hadis Abdullah bin Unais (malam 23). Dan yang paling diharapkan antara malam-malam ganjil tersebut di sisi jumhur (majoriti) ulamak pula ialah pada malam dua puluh tujuh”.
Rujuk Fathul Bari, juz 4, m/s 335.
Dan bagi Imam Syafie, malam yang paling diharapkan berlakunya lailatul qadar ialah malam ke dua puluh satu. Imam Tirmizi menyatakan dalam kitabnya Sunan Tirmizi, bahawa Imam Syafie menyatakan:
  • “Dan riwayat (hadis) yang paling kuat di antara hadis-hadis (tentangnya) pada pandanganku ialah ia pada malam dua puluh satu”. Rujuk Tuhfatul Ahwazi, juz 3, m/s 424.
Dan antara hadis yang menguatkan pandangan ini ialah,

Hadis kelima:
  • عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي رَمَضَانَ الْعَشْرَ الَّتِي فِي وَسَطِ الشَّهْرِ فَإِذَا كَانَ حِينَ يُمْسِي مِنْ عِشْرِينَ لَيْلَةً تَمْضِي وَيَسْتَقْبِلُ إِحْدَى وَعِشْرِينَ رَجَعَ إِلَى مَسْكَنِهِ وَرَجَعَ مَنْ كَانَ يُجَاوِرُ مَعَهُ وَأَنَّهُ أَقَامَ فِي شَهْرٍ جَاوَرَ فِيهِ اللَّيْلَةَ الَّتِي كَانَ يَرْجِعُ فِيهَا فَخَطَبَ النَّاسَ فَأَمَرَهُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ قَالَ كُنْتُ أُجَاوِرُ هَذِهِ الْعَشْرَ ثُمَّ قَدْ بَدَا لِي أَنْ أُجَاوِرَ هَذِهِ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ فَمَنْ كَانَ اعْتَكَفَ مَعِي فَلْيَثْبُتْ فِي مُعْتَكَفِهِ وَقَدْ أُرِيتُ هَذِهِ اللَّيْلَةَ ثُمَّ أُنْسِيتُهَا فَابْتَغُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وَابْتَغُوهَا فِي كُلِّ وِتْرٍ وَقَدْ رَأَيْتُنِي أَسْجُدُ فِي مَاءٍ وَطِينٍ فَاسْتَهَلَّتْ السَّمَاءُ فِي تِلْكَ اللَّيْلَةِ فَأَمْطَرَتْ فَوَكَفَ الْمَسْجِدُ فِي مُصَلَّى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِينَ فَبَصُرَتْ عَيْنِي رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَظَرْتُ إِلَيْهِ انْصَرَفَ مِنْ الصُّبْحِ وَوَجْهُهُ مُمْتَلِئٌ طِينًا وَمَاءً
  • Ertinya: Abu Said al-Khudriy r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. beriktikaf dalam bulan Ramadhan pada 10 hari pertengahan bulan. Bila sampai hari ke dua puluh, baginda pulang ke rumah baginda. Dan orang-orang yang beriktikaf bersama mereka juga pulang. …kemudian baginda bersabda:
    “Aku beriktikaf pada sepuluh hari ini (pertengahan bulan), kemudian jelas kepadaku untuk beriktikaf pada sepuluh yang terkahir ini. Maka sesiapa yang beriktikaf bersamaku, maka hendaklah dia kembali beriktikaf di tempat iktikafnya. Dan sesungguhnya aku sudahpun diperlihatkan (bilakah) malam lailatul qadar, kemudian aku dilupakannya. 

    Maka carilah ia pada sepuluh yang terakhir, dan carilah pada setiap (malam yang) ganjil. Dan sesungguhnya aku melihat (tandanya ialah) aku bersujud di atas air dan tanah yang lembik (selut). Dan pada malam itu (malam dua puluh satu) turunnya hujan, sehingga menitis (air hujan) ke dalam masjid di tempat solat Rasulullah s.a.w. 

    Dan aku melihat Rasulullah s.a.w. setelah selesai dari solat subuh, wajah baginda penuh dengan air dan tanah yang lembik. Hadis riwayat Bukhari.
Sebahagian ulamak Syafieyyah menganggap malam 21 adalah malam pertama sepuluh malam yang terakhir, dan ia adalah malam lailatul qadar. Ibn Hazm al-Zahiri pula berpendapat lailatul qadar adalah pada malam ke 21 jika bulan Ramadhan hanya 29 hari, dan ia adalah pada malam ke 20 jika bulan itu genap 30 hari. Rujuk Fathul Bari, juz 4, m/s 332.

Dan bagi yang berpendapat ia adalah malam ke 23, mereka berpandukan kepada hadis riwayat Muslim, daripada Abdullah bin Unais r.a. sebagaimana hadis tadi (hadis keempat, riwayat Abu Said al-Khudri), cumanya dalam hadis tersebut dinyatakan ia adalah pada malam ke 23. Dan Abdullah bin Unais r.a. juga berpendapat demikian. 

Dikuatkan lagi dengan kata-kata Muawiyah r.a. bahawa malam lailatul qadar adalah pada malam ke 23. Riwayat Ibn Abi Syaibah, dengan isnad yang sohih. Tambahan lagi malam ke 23 adalah malam pertama daripada tujuh malam yang berbaki, jika bulan tersebut hanya 29 hari.
Dan bagi yang berpendapat ia adalah pada malam ke 24, mereka berhujah dengan kata-kata Ibn Abbas:
  • “Carilah (lailatul qadar) pada malam ke dua puluh empat”. Riwayat Bukhari.
Namun ada juga yang menganggap maksud Ibn Abbas ialah malam 24 adalah malam pertama daripada tujuh malam yang masih berbaki, yang dituntut oleh Rasulullah s.a.w. untuk kita mencari lailatul qadar.

Dan jumhur ulamak pula yang menganggap kemungkinan terbesar lailatul qadar adalah pada malam ke 27. Mereka berdalilkan dengan

Hadis keenam:
  • عن زِرّ بْن حُبَيْشٍ يَقُولُ: سَأَلْتُ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقُلْتُ إِنَّ أَخَاكَ ابْنَ مَسْعُودٍ يَقُولُ مَنْ يَقُمْ الْحَوْلَ يُصِبْ لَيْلَةَ الْقَدْرِ، فَقَالَ رَحِمَهُ اللَّهُ: أَرَادَ أَنْ لَا يَتَّكِلَ النَّاسُ. أَمَا إِنَّهُ قَدْ عَلِمَ أَنَّهَا فِي رَمَضَانَ وَأَنَّهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وَأَنَّهَا لَيْلَةُ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ، ثُمَّ حَلَفَ لَا يَسْتَثْنِي أَنَّهَا لَيْلَةُ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ. فَقُلْتُ: بِأَيِّ شَيْءٍ تَقُولُ ذَلِكَ يَا أَبَا الْمُنْذِرِ؟ قَالَ: بِالْعَلَامَةِ أَوْ بِالْآيَةِ الَّتِي أَخْبَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا تَطْلُعُ يَوْمَئِذٍ لَا شُعَاعَ لَهَا
Ertinya: Zir bin Hubaisy berkata, aku bertanyakan Ubai bin Kaab tentang kata-kata Ibn Mas’ud:
“Sesiapa yang bangun beribadat sepanjang tahun, maka dia akan mendapat lailatul qadar”. Lalu Ubai r.a. menjawab: Tujuan Ibn Mas’ud r.a. adalah supaya orang ramai tidak hanya bergantung pada tarikh tertentu dan meninggalkan ibadat. 

Sebenarnya beliau memang tahu bahawa ia hanya pada bulan ramadhan, dan ia hanya pada sepuluh malam yang terakhir dan ia adalah pada malam ke 27. Kemudian beliau (Ubai bin Kaab r.a.) bersumpah tanpa teragak-agak bahawa lailatul qadar adalah pada malam ke 27. 

Lalu aku (Zir bi Hubaisy) bertanya: Apakah sebab kamu berkata demikian wahai Abul Munzir (gelaran Ubai bin Kaab r.a.)? Beliau menjawab: Dengan alamat atau tanda yang mana Rasulullah s.a.w. memberitahu kepada kami bahawa (matahari) pada hari itu akan timbul tanpa sinaran cahaya. Hadis riwayat Muslim.
Dan yang menguatkan lagi ia adalah pada malam 27, perkataan ( هي ) yang bererti ia (kata ganti nama yang merujuk kepada lailatul qadar), pada surah al-Qadar adalah kalimah yang ke 27. Tambahan lagi, kalimah lailatul qadar ( ليلة القدر ) dalam bahasa arab adalah sembilan huruf. 

Dan ia pula disebut sebanyak tiga kali dalam surah tersebut. Maka jumlah keseluruhan huruf kalimah adalah 27. Namun tafsir ini hanyalah tafsir isyari sahaja, dan bukanlah asas tafsir yang ilmiah.

Kesimpulan yang boleh diucapkan tentang persoalan ini, ialah beramallah dengan bersungguh-sungguh pada 10 yang akhir, kerana kita meyakini kewujudannya, sekalipun tidak tahu tentang bilakah masanya. Apatah lagi ramai di kalangan ulamak yang menganggap masanya boleh berubah-ubah malamnya, sebagaimana pendapat Imam Malik, Sufyan al-Sauri, Imam Ahmad, Ishaq bin Rahuyah dan lain-lain.
Perbanyakkanlah amal ibadah pada 10 hari yang terakhir ini. Dan inilah yang telah dilakukan oleh baginda s.a.w. sebagaimana kata Aisyah r.a. (hadis riwayat Muslim). Ini kerana ilmu tentangya telah dipersempitkan, supaya kita semua menambahkan lagi ibadat kita bukan hanya tertentu pada satu malam sahaja, bahkan pada malam-malam yang berbilang-bilang.

Pada Saya..

Saya sebagai seorang Islam, kita wajib mengusahakan supaya tegaknya sebuah negara Islam merangkap negara kebajikan, di bumi yang kita duduki ini. Dalam menuju ke arah itu, kita tidak perlu kita gunakan bom, kekerasan atau M16, kerana ulama kita sudah tentukan cara terbaik ialah dengan gunakan pen, pangkah dan undi kepada parti berdasarkan Islam. Bukan parti kebangsaan atau lain-lainnya.

Medan perang kita adalah 'peti undi'.  Masa perang kita adalah semasa PRU 13, yang sudah dekat. Sasaran kita ialah tegakkan agama Allah, dalam masyarakat, diri dan negara. Saya teringat kata ulama antaranya Allahyarham Ustaz Fadhi Noor bekas Presiden PAS ke 6, 
  • "Tidak sempurna iman seseorang itu, kalau sekiranya negaranya sendiri masih belum menjadi negara Islam yang sebenarnya."
Tidak sempurna iman, itu bukan main-main. Yang paling perlu kita jaga, ialah 'Iman' melebihi dari seluruh isi dunia, segala kekayaan dan kesayangan.  Kemanisan Iman perlu dicari, dihayati dan dinikmati.

Saya tertarik dengan tulisan Mohd Afif Rabbani Bin Abdullah dalam Harakahdaily semalam, antara katanya...
  • "...dalam usaha.... mempersiapkan diri kita menjelang PRU-13 nanti, saya merasakan bahawa 10 hari terakhir Ramadan itu adalah tempoh waktu yang sangat sesuai dan terbaik untuk kita semua memperkemaskan persiapan kita menuju jihad pilihan raya yang dikatakan semakin hampir ini. Hal ini kerana, antara persiapan yang paling penting bagi seorang pejuang agama ialah persiapan rohani, yang berkait rapat dengan ibadah dan pengabdian diri kita kepada Allah SWT."

Sambung beliau lagi..
  • ".. ingatlah bahawa PRU-13 itu adalah satu jihad, sedangkan jihad itu adalah satu daripada tuntutan Islam. Jihad adalah sangat penting bagi memastikan Islam itu berada pada tempat yang tertinggi sekali dan dilaksanakan di muka bumi ini. Untuk berjihad, individu Muslim itu perlulah bersedia dari segenap sudut, dan persiapan yang paling penting sekali.."
  •  "Justeru, gunalah peluang 10 akhir Ramadan ini untuk kita meningkatkan pengabdian diri kepada Allah SWT. Dan ingatlah bahawa Allah SWT menjanjikan kemenangan kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas beribadat kepada Allah SWT. 
  • Ya, kita mendambakan kemenangan pada PRU-13 nanti, untuk kita melaksanakan dan mengamalkan agama Allah SWT secara keseluruhannya di bumi Malaysia ini.  Dan pasti kemenangan itu menjadi milik kita jika kita benar-benar ikhlas dan menjaga hubungan kita dengan Allah SWT. Siru ‘Ala Barakatillah. AllahuAkbar."
 Walillahilham.
 Itulah medan perang jihad di Malaysia buat masa ini..


Catatan Santai Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com
 

 8 Ogos  2012
 KL



Lihat sebelum ini.
E-Buku IH-58: 'Universiti Ramadzan' Al-Mubarak.
E-Buku IH-58: 'Universiti Ramadzan' Al-Mubarak.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails