Thursday, August 09, 2012

Syria Wujudkan Wilayah Syiah Alawi? -Jordan

BEBERAPA orang mencari mangsa-mangsa yang terselamat dalam serangan udara tentera Syria di sebuah kampung di Tel Rafat, 37 kilometer ke utara Aleppo semalam.
AMMAN - "Presiden Syria, Bashar Al-Assad mungkin mewujudkan wilayah untuk penganut Muslim berfahaman Syiah Alawi sebagai pelan alternatif jika beliau gagal menguasai keseluruhan Syria yang kini bergolak," kata pemerintah Jordan, Raja Abdullah.

Menurutnya, langkah tersebut akan mencetuskan masalah di rantau Arab untuk tempoh beberapa dekad akan datang.

"Saya berpandangan jika beliau tidak boleh menguasai Syria, Bashar mungkin menjadikan sebuah kawasan sebagai wilayah Alawi untuk menjadi kawasan pemerintahannya sebagai pelan alternatif (pelan B)," kata Raja Abdullah dalam satu wawancara yang disiarkan di laman web saluran televisyen Amerika Syarikat, CBS.

"Tindakan ini, bagi kami, merupakan senario terburuk kerana ia bermakna Syria akan berpecah dengan setiap panglima akan mula merampas wilayah masing-masing. Ia akan mencetuskan masalah di rantau Arab yang mungkin mengambil masa beberapa dekad untuk pulih," tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syria menyatakan askar-askarnya merampas daerah Salaheddin di Aleppo yang dikuasai pemberontak semalam. Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan kumpulan pemberontak yang menentang kepimpinan Bashar.

Menurut agensi berita Anatolia, kira-kira 2,400 orang memasuki Turki bagi melarikan diri daripada keganasan di Syria. Sementara itu, Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi berkata, sebahagian daripada 48 warganya yang diculik oleh satu unit Tentera Pembebasan Syria merupakan anggota-anggota Pasukan Pengawal Revolusi yang telah bersara.

Beliau turut menafikan anggota-anggota tersebut mempunyai sebarang peranan untuk membantu rejim Bashar. Warga Iran itu diculik pada minggu lalu di pinggir Damsyik dalam serangan yang dilancarkan unit tentera tersebut. Kebangkitan rakyat menentang Bashar bermula sejak Mac tahun lalu dan lebih 19,000 orang dilaporkan telah terbunuh dalam pertempuran di negara ini.
- Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails